Peremajaan Pekan Lama Rawang sasar masalah kesesakan, banjir kilat

1 Okt 2026, 2:00 AM
Peremajaan Pekan Lama Rawang sasar masalah kesesakan, banjir kilat
Peremajaan Pekan Lama Rawang sasar masalah kesesakan, banjir kilat

RAWANG, 1 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat percaya pelan meremajakan pekan lama Rawang dapat menambah baik aliran trafik dan menangani banjir kilat di kawasan tersebut.

Beliau berkata kesesakan antara rungutan peniaga dan penduduk setempat, khususnya dua jalan utama yang menjadi nadi pergerakan dan komersial iaitu Jalan Maxwell dan Jalan Welman.

Katanya, masalah tersebut berpunca akibat tabiat parkir berganda atau lebih yang menjejaskan kelancaran trafik khususnya waktu puncak selain faktor pertambahan penduduk.

“Parkir di tengah-tengah jalan pun ada. Keadaan itu buat trafik perlahan yang menjadikannya backflow (aliran berbalik) sehingga ke kawasan berhampiran terutama ketika waktu puncak,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau memberitahu kajian penilaian trafik perlu dibuat bagi mengenal pasti pendekatan terbaik dalam menambah baik aliran trafik di kawasan berkenaan.

“Jalan itu laluan utama yang menghubungkan jaringan pekan selain merupakan sebahagian daripada laluan utama jajaran Jalan Persekutuan FT01 (Kuala Lumpur – Ipoh),” katanya.

Katanya, parkir bertingkat berkapasiti 500 petak tersedia di Park and Ride Rawang sebelah stesen KTM Rawang dilihat langkah sesuai bagi mengelak perbuatan parkir di bahu jalan.

“Pendekatan secara berperingkat penting bagi memastikan penstrukturan semula jalan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa menimbulkan masalah baharu kepada penduduk dan peniaga.

“Dulu mereka kata kekurangan parkir, tapi kerajaan sudah bina parkir bertingkat ada 500 petak, sepatutnya tiada alasan lagi untuk double parking (parkir berganda) atau triple parking.

“Jadi kita nak menggunakan peluang rejuvenasi (peremajaan) ini untuk menyusun semula jajaran jalan sekaligus mengelakkan kesesakan berpanjangan di situ,” katanya.

Beliau berkata isu banjir kilat di Jalan Maxwell juga perlu diberi perhatian kerana ia menjejaskan operasi peniaga dan menyebabkan mereka berdepan risiko kerugian meskipun sistem pam ada disediakan.

“Ia bertambah baik sebab kita sudah wujudkan pam tapi kadang-kadang bila hujan terlalu lebat, banjir juga tapi sekejap,” katanya sambil menambah bencana itu antara punca peniaga tempatan tidak menyewa di lokasi tersebut.

Fakta Rawang. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.