
GOMBAK, 1 OKT: Usaha meremajakan Pekan Lama Rawang bakal diperkasa melalui sistem bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) sekali gus menangani pelbagai masalah yang dihadapi orang ramai.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaludin percaya kaedah itu berupaya mengatasi banyak masalah setempat termasuk isu kesesakan trafik di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, penggunaan AI di pusat kawalan bersepadu MPS yang mencapai 60 peratus dijangka lengkap sepenuhnya awal tahun depan selepas diintegrasi pelbagai sistem serta sumber data.

Beliau menjelaskan data berkenaan meliputi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiang pintar bersepadu, data paras air sungai, sistem kedudukan sejagat (GPS) dan banyak sensor lain.
“Dengan bantuan AI, ia memberi maklumat bagi memudahkan kita membuat keputusan menyelesaikan masalah itu. Bila data-data itu semua sudah diintegrasi, kita akan lebih mudah membuat keputusan mengenai apa-apa isu yang berlaku dalam kawasan,” katanya kepada Media Selangor.
Shahman memberitahu data yang sebelum ini beroperasi berasingan dihimpun dalam satu sistem, sekali gus membolehkan AI memberi petunjuk kepada MPS dalam proses membuat keputusan.
“Kita ada CCTV untuk isu trafik, data paras air dan pelbagai sensor lain. Kita cuba masukkan semua data itu dan AI membantu memberi petunjuk bagaimana menyelesaikan masalah secara bersepadu di pusat kawalan,” katanya.
Beliau memaklumkan penggunaan sistem itu antara sokongan teknologi dalam pelaksanaan pelan peremajaan terutama menangani isu trafik yang dikenal pasti antara cabaran utama kawasan itu.
Katanya, tumpuan akan diberi kepada penyusunan semula aliran trafik, pengindahan semula bangunan lama, penyediaan taman rekreasi (pocket park) serta penambahbaikan landskap.
Menurut Shahman, MPS dalam proses memperoleh pandangan penduduk dan peniaga sebelum melantik perunding bagi mereka bentuk pelan pembangunan semula sama ada langkah segera, jangka pendek dan panjang.

Sebelum ini, MPS menjangka usaha membangunkan semula Pekan Lama Rawang dimulakan tahun depan secara berperingkat selepas kajian dan reka bentuk pembangunan siap.
Aspek yang diberi tumpuan antaranya penyusunan semula aliran trafik, pengindahan bangunan lama, penyediaan taman rekreasi serta penambahbaikan landskap.
Berdasarkan kertas cadangan awal, reka bentuk pelan peremajaan pekan berusia lebih 100 tahun itu bertujuan memperkasa identiti warisan, meningkatkan kualiti ruang awam dan menambah fungsi dan kecekapan infrastruktur.
Selain itu, pelan tersebut meliputi usaha merangsang ekonomi tempatan, bandar mesra pejalan kaki dan mewujudkan pembangunan bandar mampan serta berkualiti.








