SHAH ALAM, 6 OKT: Lebih banyak tempat rekreasi perlu diwujudkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru sebagai ruang interaksi komuniti khususnya di lokaliti yang semakin padat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid menjelaskan kemudahan itu penting bagi keselesaan penduduk yang semakin terhimpit dengan pembangunan pesat saban hari.
"Saya berharap ruang rekreasi yang lebih sesuai dapat diwujudkan di Meru, sama ada melalui peranan Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) atau dipertimbangkan dalam Belanjawan Selangor 2027.
"Ini penting dalam memastikan pembangunan fizikal di Meru seiring keperluan sosial penduduk," katanya dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan pendigitalan perkhidmatan kepada rakyat diperkukuh, termasuk capaian internet percuma untuk golongan muda.
“Walaupun ada NADI di sana, tapi belum begitu mencukupi untuk kita dapatkan internet yang mudah, khususnya untuk golongan muda,” katanya.
Mariam turut menegaskan pembangunan baharu perlu dipantau pihak berkaitan bagi memastikan kemajuan kawasan itu terus memanfaatkan rakyat serta tidak menjejaskan keselesaan mereka.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.
Selangor memperuntuk RM3.23 bilion dalam belanjawan 2026, merangkumi RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk pembangunan.







