KLANG, 15 OKT: Sambutan Pesta Tanglung dan Kuih Bulan di Taman Bukit Kapar, Meru pada 9 Oktober lalu menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum menerusi aktiviti kebudayaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata program julung kali itu dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga.
Menurutnya, penganjuran itu turut mencatat sejarah bagi masyarakat Cina di pekan Kapar apabila sambutan berkenaan diadakan bersama perarakan tanglung.
"Alhamdulillah, malam ini kita dapat melihat persiapan yang sangat baik dan sambutan daripada penduduk setempat, bukan sahaja kaum Cina, malah kaum-kaum lain turut hadir bersama.
"Semangat ini memang perlu kita kekalkan," katanya ketika menghadiri program berkenaan di Taman Permainan, Jalan Imam Abdul Aziz 4, Kapar.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, pemberian kuih bulan dan cabutan bertuah kepada peserta.
Mariam berkata program itu sepatutnya berlangsung pada September, namun ditangguhkan berikutan kekangan masa, jadual penganjuran yang padat dan persiapan penduduk.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata usaha memperkukuh hubungan komuniti turut dilaksanakan menerusi program Wellness Meru yang menghimpunkan kira-kira 100 hingga 200 warga emas setiap hujung minggu.
Program berkenaan merangkumi aktiviti tai chi dan senamrobik bagi menggalakkan warga emas kekal aktif serta mengamalkan gaya hidup sihat.
"Semua bangsa di Meru perlu bekerjasama, bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni bagi memastikan semangat perpaduan ini terus berkekalan," katanya.










