SHAH ALAM, 14 SEPT: Agensi kerajaan digalakkan melaksana program berbentuk riadah dan rekreasi bagi memastikan kakitangan kekal cergas, kata EXCO sukan.
Najwan Halimi berkata selain mengekalkan kecergasan, aktiviti sedemikian juga dapat memupuk semangat kerja berpasukan jabatan masing-masing.
“Kita galakkan agensi dan jabatan kerajaan untuk laksana aktiviti riadah antara kakitangan dan jabatan pengurusan bukan sahaja untuk tingkat tahap kecergasan tetapi pupuk ‘team building’.
“Seperti baru-baru ini saya bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tawan puncak Kinabalu. Program riadah ini dapat pupuk kerjasama pengurusan dan kakitangan.

“Saya telah adakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan lain untuk gerakkan program riadah di kawasan lain, tidak di Kinabalu sahaja mungkin di laut,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut menjelaskan, dengan penganjuran program di luar Selangor, secara tidak langsung dapat mempromosi Tahun Melawat Selangor serta kempen Melawat Malaysia 2026.
Sebelum ini, Mohd Najwan yang juga EXCO belia bersama tiga kakitangan Tourism Selangor dan MBSA menawan puncak Gunung Kinabalu.
Ekspedisi itu menjadi lebih bermakna apabila tercatat dalam Malaysia Books Of Records (MBOR) kerana berlangsungnya bacaan ikrar di puncak tertinggi di Malaysia.
Selain bacaan ikrar pada ketinggian 4,095 meter dari paras laut, delegasi tersebut turut mengibarkan bendera Tahun Melawat Selangor 2025 di puncak tertinggi berkenaan.