SHAH ALAM, 4 OGOS: Syarikat perumahan Sime Darby diminta mengambil langkah segera mendalamkan saluran longkang sekitar projek pembangunan milik mereka di Meru bagi mengelakkan berlakunya banjir.
Ahli Dewan Negeri Meru, Mariam Abdul Rashid berkata ia memandangkan projek perumahan itu telah menyebabkan penduduk di Taman Meru 4 terjejas teruk termasuk mengalami kerugian selepas perabot dan harta benda mereka rosak.
“Rumah penduduk ini bukanlah kawasan yang kerap dilanda banjir. Namun disebabkan projek pembangunan di kawasan berhampiran, rumah mereka dinaiki air dan ia berulang beberapa kali.
“Jadi tindakan awal dengan minta Sime Darby mendalamkan longkang selain tambak tanah di kawasan pembangunan projek mereka. Ini untuk pastikan air tak melimpah ke kawasan penduduk,” katanya selepas meninjau kawasan perumahan terbabit.
Dalam masa sama, Mariam berkata pihak berwajib juga akan memantau sistem saluran air di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berikutan diyakini turut menjadi punca banjir berkenaan.
“Difahamkan air dari saluran itu menolak ke arah kawasan ini dan menyebabkan air naik. Ini antara langkah jangka panjang selain Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memohon peruntukan segera untuk kerja selenggara longkang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata setiap mangsa yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) akan diberi sumbangan sebanyak RM500 manakala yang kekal di rumah akan mendapat RM250.
“Penduduk terjejas perlu mengisi borang dan dapatkan pengesahan. Saya akan cuba berbincang dengan Dato’ Menteri Besar untuk memastikan bantuan disampaikan segera.
“Pemaju juga perlu perlu bertanggungjawab. Saya akan bincangkan supaya mereka beri pampasan atau ganti rugi memandangkan perabot serta harta benda penduduk rosak,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk Taman Meru 4, berdepan situasi cemas dan trauma apabila hujan lebat dalam tempoh dua jam kerana air parit utama di kawasan terbabit akan melimpah sekali gus merisikokan kediaman mereka.







