Terima ribuan pesakit sehari, Klinik Kesihatan Meru perlu dinaik taraf

5 Okt 2026, 1:00 AM
Terima ribuan pesakit sehari, Klinik Kesihatan Meru perlu dinaik taraf
Terima ribuan pesakit sehari, Klinik Kesihatan Meru perlu dinaik taraf

SHAH ALAM, 5 OKT: Klinik Kesihatan Meru perlu dinaik taraf bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat, selain memastikan mereka menerima perkhidmatan lebih selesa dan efisien.

Wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid berkata kemudahan kesihatan itu kini menerima lebih 1,000 pesakit sehari, menunjukkan keperluan menambah baik perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

"Kawasan Meru kini semakin berkembang pesat ditambah dengan jumlah penduduk yang bertambah. Jadi keperluan untuk menaik taraf klinik kesihatan ini sangat tinggi," katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor.

April lalu, menteri kesihatan menjelaskan kementeriannya menumpukan usaha menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada termasuk hospital di seluruh negara bagi menampung peningkatan permintaan perkhidmatan tersebut.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pendekatan itu diambil berikutan kebanyakan fasiliti kesihatan awam sedia ada beroperasi dengan kapasiti hampir 100 peratus.

Dalam pada itu, Mariam mencadangkan Belanjawan Selangor 2027 menumpukan kemudahan rekreasi, pendigitalan perkhidmatan kepada rakyat serta usaha memperkukuh perpaduan masyarakat.

Beliau juga berharap Kerajaan Selangor akan kekal inklusif dan memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat tanpa meninggalkan mana-mana golongan.

“Harapan saya belanjawan kali ini inklusif, progresif dan berpaksikan kebajikan rakyat,” katanya.

Belanjawan Persekutuan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026 dengan unjuran perbelanjaan mencecah rekod tertinggi sebanyak RM440.9 bilion.

Belanjawan Selangor 2027 pula dijadual dibentangkan di Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.

Selangor memperuntuk RM3.23 bilion menerusi belanjawan 2026, merangkumi RM1.86 bilion atau 57.6 peratus perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk pembangunan negeri.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.