Projek tebatan banjir Meru 37 peratus siap, risiko banjir besar berkurang

7 Nov 2026, 2:00 AM
Projek tebatan banjir Meru 37 peratus siap, risiko banjir besar berkurang

SHAH ALAM, 7 NOV: Kejadian banjir besar di beberapa kawasan Meru, Klang semakin berkurangan susulan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar yang kini mencapai kemajuan 37 peratus.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata projek yang bermula pada Januari 2024 dan dijangka siap pada 2029 itu menunjukkan kesan positif apabila beberapa kawasan berisiko termasuk Pekan Meru tidak mengalami banjir besar ketika hujan lebat baru-baru ini.

“Pengarah JPS Selangor memaklumkan kepada saya kemajuan projek sudah mencapai 37 peratus. Berdasarkan pemantauan saya, kerja di lapangan dilihat semakin berkembang,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurutnya, antara kawasan yang sebelum ini kerap dilanda banjir ialah Jalan Cempaka, Jalan Paip, Jalan Hamzah Alang, Taman Sri Putri, Taman Mesra, Taman Berkat dan Taman Meru Murni, namun kali ini tiada penduduk perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid. Foto Facebook Mariam Abdul Rashid

Mariam berkata projek RTB berkenaan turut merangkumi pembinaan empat kolam takungan banjir, manakala kerja pelebaran parit di Jalan Kenangan, Taman Meru 3 sudah bermula bagi membantu mengurangkan risiko banjir dalam jangka panjang.

“Projek ini mengambil masa kerana melibatkan proses pengambilan tanah, kajian dan penyediaan reka bentuk sebelum pembinaan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Kita mahu memastikan kemudahan yang dibina benar-benar sesuai dan dapat membantu mengurangkan risiko banjir dalam jangka panjang,” jelasnya.

Selain itu, kolam takungan di Kampung Budiman berfungsi dengan baik, sementara pemasangan tiga pam air oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Meru Jaya serta pembinaan benteng di Aman Perdana turut membantu mengurangkan risiko banjir dan masalah air bertakung.

Mengulas persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena air pasang besar, beliau berkata kerja penyelenggaraan longkang dan parit sedang dipergiat dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta MBDK, selain penyampaian maklumat kesiapsiagaan kepada penduduk melalui ketua kampung dan ahli majlis.

Bagaimanapun katanya, limpahan air masih berlaku di beberapa lokasi berhampiran kawasan pembangunan termasuk Taman Datuk Bandar dan kawasan bersempadan dengan Fairy Park, namun tidak memasuki rumah penduduk.

Pemantauan sistem saliran dan pembangunan berhampiran diteruskan, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai ditetapkan sebagai antara PPS sekiranya pemindahan diperlukan.

“Walaupun sistem saliran semakin baik, kita perlu sentiasa bersedia kerana hujan lebat luar biasa dan fenomena air pasang besar masih boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk mengalihkan kenderaan ke kawasan tinggi, menyimpan dokumen penting dan barangan berharga di tempat selamat serta mengikuti amaran bencana melalui saluran rasmi kerajaan.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.