SKMM diminta perjelas maklum balas Meta isu godam WhatsApp

30 Sep 2026, 12:30 PM
SKMM diminta perjelas maklum balas Meta isu godam WhatsApp

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kenyataan untuk memperjelas maklum balas Meta mengenai isu penggodaman serta penyahaktifan akaun WhatsApp.

Beliau bagaimanapun berkata masih belum menerima maklumat terkini hasil perbincangan antara SKMM dan Meta berhubung isu berkenaan.

“Saya belum sempat mendapatkan maklumat terkini hasil daripada perbincangan... pihak Meta telah meminta (tempoh) hingga 3 petang pada hari Isnin lalu untuk menghantar maklum balas mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak SKMM mengenai penggodaman dan juga penyahaktifan akaun WhatsApp.

“... saya akan minta supaya pihak SKMM mengeluarkan kenyataan hasil daripada maklum balas daripada pihak Meta itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan SKMM mengambil maklum kebimbangan awam berhubung isu akaun WhatsApp digodam, disekat atau tidak boleh dicapai.

SKMM memaklumkan pihaknya meneliti aduan diterima dan sudah memajukan kes berkaitan kepada platform Meta untuk penjelasan serta tindakan selanjutnya.

Suruhanjaya itu turut menjelaskan isu pengambilalihan akaun atau digodam dan penyekatan akaun ialah dua perkara berbeza.

Menurut SKMM, akaun yang digodam pihak tidak bertanggungjawab berisiko disalahgunakan untuk aktiviti penipuan, spam, atau pelanggaran terma perkhidmatan WhatsApp, dan akhirnya menyebabkan akaun berkenaan disekat pihak platform.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menghubungi alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi membincangkan kaedah meningkatkan penglibatan mereka dalam perbincangan kerajaan.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata ia susulan pertemuan Anwar bersama dengan alumni UiTM baru-baru ini yang menghimpunkan ramai individu berpengalaman termasuk dalam sektor korporat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.