SKMM teliti aduan akaun WhatsApp digodam, disekat

25 Sep 2026, 3:45 AM
SKMM teliti aduan akaun WhatsApp digodam, disekat

SHAH ALAM, 25 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti aduan berhubung isu akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak boleh diakses.

SKMM memaklumkan kes berkaitan sudah dikemukakan kepada platform Meta untuk penjelasan serta tindakan lanjut.

Menurutnya, isu pengambilalihan akaun dan penyekatan akaun merupakan dua perkara berbeza.

"Akaun yang digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab berisiko disalahgunakan untuk aktiviti penipuan, spam atau pelanggaran terma perkhidmatan WhatsApp sehingga menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, SKMM menasihati pengguna terjejas agar menggunakan saluran rasmi WhatsApp bagi tujuan pemulihan atau mengemukakan rayuan.

“Pengguna juga diingatkan agar tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan, mengaktifkan fungsi Pengesahan Dua Langkah, serta mengelakkan daripada menekan pautan atau memuat turun aplikasi mencurigakan,” katanya.

Sementara itu, SKMM turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak luar yang menawarkan perkhidmatan pemulihan akaun dengan mengenakan bayaran atau meminta maklumat peribadi serta kod pengesahan.

"Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan menerusi saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada SKMM untuk tindakan susulan," katanya.

SKMM turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.