Sektor logistik, pelabuhan tawar peluang pekerjaan pelbagai kemahiran

16 Nov 2026, 4:41 AM
Sektor logistik, pelabuhan tawar peluang pekerjaan pelbagai kemahiran

SHAH ALAM, 16 NOV: Sektor logistik dan pelabuhan berperanan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor, khususnya dengan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai hab perdagangan dan pengangkutan utama negara.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata sektor itu turut menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan kategori kemahiran, termasuk pengurusan rantaian bekalan, pengangkutan, penyimpanan serta operasi pelabuhan.

Sehubungan itu, pihaknya bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor akan terus menggalakkan lebih banyak majikan dalam sektor berkenaan menyertai pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP).

“Berdasarkan statistik MYFutureJobs sehingga 30 Oktober 2026, sebanyak 40,873 peluang pekerjaan telah direkodkan dalam sektor pengangkutan negeri ini.

“Angka ini menunjukkan kepentingan sektor berkenaan dalam pasaran pekerjaan negeri serta potensi untuk memperkukuh pendapatan dan pembangunan kerjaya pekerja,” katanya.

Jawapan berkenaan dibacakan EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah mewakili Papparaidu di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurut Papparaidu, tumpuan turut diberi kepada usaha meningkatkan kefahaman berhubung peningkatan gaji, yang perlu seiring dengan kemahiran dan produktiviti pekerja.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan DGP adalah tertakluk kepada syarat, mekanisme dan ketetapan Kerajaan Persekutuan.

“Namun, Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan lebih ramai majikan dan pekerja di Selangor mendapat maklumat serta peluang menyertai inisiatif ini,” katanya.

Ketika membentang Belanjawan Negeri 2027 minggu lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor diunjur menjadi negeri pertama mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi RM500 bilion pada tahun depan, selepas nilai ekonominya dijangka mencecah RM489 bilion tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata unjuran itu bersandarkan prestasi ekonomi negeri yang terus berkembang dengan KDNK berjumlah RM460.1 bilion pada 2025, meningkat daripada RM432.1 bilion pada 2024.

Menurutnya , pencapaian tersebut sekali gus menyaksikan sumbangan Selangor kepada KDNK negara meningkat kepada 26.5 peratus.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.