NADMA gesa negeri perketat pemantauan jerebu, utamakan keselamatan pelajar

14 Okt 2026, 8:45 AM
NADMA gesa negeri perketat pemantauan jerebu, utamakan keselamatan pelajar

PUTRAJAYA, 14 OKT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat pemantauan jerebu dan mengambil tindakan segera bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya pelajar sekolah.

NADMA dalam kenyataan memaklumkan langkah itu termasuk mengadakan mesyuarat penyelarasan berkala, memantau kualiti udara dan memastikan agensi berkaitan bersedia menghadapi keadaan yang semakin serius.

Menurutnya, keselamatan pelajar perlu diutamakan tanpa menjejaskan kelangsungan pendidikan, manakala sebarang keputusan berhubung operasi sekolah tertakluk kepada garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) dan penilaian semasa.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara merosot, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

"Ibu bapa juga diminta mengikuti pengumuman rasmi KPM dan pihak sekolah berhubung sebarang perubahan pengoperasian sekolah," menurut kenyataan itu.

NADMA turut mengingatkan tindakan menangani jerebu perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan mengambil kira bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), keadaan cuaca, risiko pembakaran terbuka dan kesihatan awam.

Katanya, JPBN perlu memastikan anggota, peralatan dan sumber mencukupi di kawasan terjejas, selain mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sekiranya keadaan bertambah serius.

Langkah itu susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pengurusan Bencana Negara pada 16 September lalu yang diperkukuh menerusi perbincangan antara agensi semalam.

Perbincangan berkenaan melibatkan NADMA, Majlis Keselamatan Negara (MKN), KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara, ramalan cuaca dan kesihatan melalui saluran rasmi serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.