SHAH ALAM, 30 SEPT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) memperkenalkan sistem kad pintar bagi memantau penggunaan diesel lori kontraktornya susulan kos bahan api yang mencecah hampir RM60,000 sehari.
Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata penggunaan Caltex StarCard membolehkan syarikat meneliti lokasi, masa dan jumlah diesel yang diisi bagi setiap lori.

“Kalau dahulu kita beri wang tunai kepada pemandu, mungkin ada keadaan minyak yang sepatutnya diisi penuh tetapi tidak diisi penuh hingga menyebabkan kerugian dan ketirisan.
“Dengan kad ini, kita boleh analisis sama ada lori benar-benar digunakan untuk kawasan seliaan atau bagi tujuan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik KDEB Waste Management dan Caltex Malaysia di Selangor International Trade Centre, hari ini.
Ramli berkata kira-kira 500 lori menggunakan sehingga 10,000 liter diesel sehari dengan purata harga RM5.43 seliter.
Menurutnya, setiap lori bergerak sekitar 80 hingga 100 kilometer sehari bagi operasi kutipan sampah sebelum dihantar ke tapak pelupusan.

Beliau berkata sebanyak 452 subkontraktor menerima kad berkenaan untuk digunakan di 92 stesen Caltex di seluruh Selangor.
“Penggunaan diesel boleh dipantau secara harian, mingguan dan bulanan, selain membantu subkontraktor mengurus kos dengan lebih baik,” katanya.
KDEBWM turut membuka peluang kerjasama dengan syarikat bahan api lain bagi memudahkan operasi kira-kira 1,300 lori kontraktornya di seluruh Selangor.









