SHAH ALAM, 24 OGOS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menilai semula aspek keselamatan dan pengurusan risiko aktiviti pengendalian haiwan berbisa, susulan kematian seorang anggotanya dipatuk ular tedung selar dalam program di Temerloh Kuantan Pahang pada Sabtu.
APM memaklumkan langkah tersebut sebahagian daripada komitmen berterusan agensi berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan anggota sentiasa diberi keutamaan.
“APM berdukacita dengan kehilangan Allahyarham Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, namun menegaskan segala aktiviti dijalankan sebelum insiden itu berlaku dilaksanakan mengikut prosedur tetap operasi (PTO) dan tatacara keselamatan ditetapkan.
"Anggota terbabit seorang yang terlatih dan berkemahiran berdasarkan bidang kepakaran serta berpengalaman dalam mengendalikan haiwan berbisa dan aktif berkhidmat sejak 2010.
"Semua anggota APM diwajibkan menghadiri latihan berkaitan sebelum dibenarkan untuk menyertai operasi. Selain itu, anggota yang terlibat juga menjalankan tugasan berdasarkan prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan,” jelasnya menerusi kenyataan.
APM menegaskan pihaknya mengambil serius setiap insiden berlaku dan sentiasa terbuka untuk menilai serta menambah baik aspek keselamatan, pengurusan risiko dan pelaksanaan aktiviti berkaitan dari semasa ke semasa.
Muhamad Muazam, 39, meninggal dunia awal pagi semalam selepas dipatuk reptilia berbisa itu ketika melakukan demonstrasi pengendalian haiwan terbabit di Temerloh, Pahang kelmarin.
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir jam 1.50 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.







