MBDK semak semula pelan projek Kapar Industrial Park jika banjir berterusan

29 Sep 2026, 12:30 PM
MBDK semak semula pelan projek Kapar Industrial Park jika banjir berterusan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan menyemak semula pelan pembinaan lot rumah kedai di Kapar Industrial Park jika projek tersebut terus menyebabkan kediaman di Taman Seri Kerayong dinaiki air.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBDK, Ir. Mohd Zaidi Zainal berkata pihaknya ketika ini memantau tindakan pemaju termasuk pembinaan kolam tadahan sementara serta kerja membaiki dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada.

“Untuk memastikan perkara itu tidak berlaku, MBDK akan memantau pihak pemaju bagi memastikan kerja dilaksanakan mengikut pelan yang direka bentuk dan diluluskan pihak majlis berdasarkan kajian yang dibuat serta ulasan agensi berkaitan.

“Sekiranya kejadian banjir masih berlaku, kita boleh menyemak semula pelan yang telah diluluskan kerana reka bentuk yang disediakan sepatutnya dapat mengatasi masalah banjir.

“Ini kerana kajian yang dibuat konsultan melibatkan aspek hidrologi dan hidraulik di kawasan berkenaan serta perlu memenuhi tatacara kejuruteraan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata pemaju dan konsultan projek tersebut bersetuju mengambil tindakan bagi mengatasi masalah banjir di Taman Seri Kerayong termasuk membina kolam tadahan sementara serta menaik taraf dan membaiki sistem perparitan sedia ada.

“Insya-Allah, dalam masa satu setengah bulan, pihak pemaju akan melaksanakan kerja menaik taraf Jalan Kerayong 6 yang secara tidak langsung akan menambah baik sistem perparitan di kawasan tersebut dan diharap dapat menyelesaikan masalah banjir.

“Pemaju juga akan melaksanakan kerja pembinaan parit dalaman di kawasan yang telah dimajukan dan diharap dapat membantu mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata perparitan sedia ada yang ditutup akan dibuka semula oleh pemaju bagi memastikan air hujan dapat disalurkan ke longkang dan tidak memasuki kawasan perumahan.

“Ban juga akan dinaikkan dan diperkukuh supaya arus air ketika hujan lebat tidak merobohkan ban sedia ada, selain jalan susur keluar ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembinaan dijalankan.

“Berkaitan ganti rugi, penduduk telah mengalami banyak kerugian dan kerosakan. Jadi, pemaju bersetuju memberikan pampasan dan akan menjalankan bancian bagi menentukan jumlah ganti rugi,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.