Pesawat Gulf Air terbang rendah sempena F1, CAAM bersedia urus trafik udara

29 Sep 2026, 9:28 AM
Pesawat Gulf Air terbang rendah sempena F1, CAAM bersedia urus trafik udara

SEPANG, 29 SEPT: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersedia mengurus trafik udara sempena pertunjukan udara lintas rendah oleh Gulf Air yang dijadualkan berlangsung sebelum perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), 4 Oktober ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) CAAM Zainul Abidin Maslan berkata pihaknya turut bersedia menerima penerbangan tambahan yang membawa logistik pasukan F1 selain mengurus penerbangan lain yang memasuki ruang udara negara.

“Gulf Air akan melakukan penerbangan ‘flypast’ rendah sejurus sebelum perlumbaan bermula.

“Perkara itu telah diselaraskan dengan pasukan kami, termasuk pusat kawalan dan menara kawalan KLIA, namun dijangka menyebabkan gangguan yang sangat minimum kepada trafik udara.

“Namun, kami juga bersedia untuk mengendalikan operasi sedemikian pada hari perlumbaan,” katanya dalam sesi soal jawab sempena Program Literasi Media bersama CAAM di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi CAAM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong bersama kira-kira 30 pengamal media.

Zainul Abidin berkata, jumlah trafik udara pada hari berkenaan dijangka kekal seperti biasa dengan hanya beberapa penerbangan tambahan membawa logistik pasukan yang menyertai perlumbaan.

“Aspek meteorologi turut diberi perhatian dengan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia diterima secara automatik bagi membantu pengurusan trafik udara,” katanya.

Sementara itu, Soo Heong berkata, CAAM memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Katanya, hubungan baik antara media dan CAAM penting bagi memastikan maklumat berkaitan sektor penerbangan disampaikan dengan tepat, sekali gus membantu mengekalkan kepercayaan awam, khususnya dalam melaporkan isu keselamatan, laluan baharu dan insiden.

“Wartawan juga perlu meningkatkan pemahaman mengenai sektor penerbangan serta memberikan konteks dan maklumat yang tepat, selain bekerjasama lebih rapat dengan CAAM dan penggiat industri,” katanya.

Terdahulu, lebih 30 pengamal media mengikuti lawatan ke KLATCC Menara Kawalan Trafik Udara KLIA (Tower East) berketinggian kira-kira 130 meter bagi meninjau operasi kawalan trafik udara di fasiliti berkenaan.

Pada 26 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke SIC selepas sembilan tahun apabila bakal menjadi tuan rumah GP F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini.

GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April lepas sebelum ditangguhkan ke bulan Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.