KUALA LANGAT, 29 SEPT: Sebanyak 70 bangunan pentadbiran negeri kini dilengkapi kemudahan panel solar setakat tahun lalu, sebagai usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu serta menggalakkan amalan hijau dalam sektor awam.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata jumlah kapasiti terpasang adalah sebanyak 5.69 megawatt (MW), dengan 2.23 MW daripada jumlah itu dipasang di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di seluruh Selangor.
“Perkembangan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menerapkan amalan penggunaan tenaga bersih dalam pengurusan fasiliti kerajaan.
“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut meneroka pendekatan strategik melalui Projek Government Green Energy atau GGE, yang dibangunkan menerusi kerjasama antara TNB Renewables Sdn. Bhd (TRE) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB).
“Projek ini merupakan antara usaha strategik untuk memperluas penggunaan tenaga solar bagi memenuhi keperluan fasiliti kerajaan melalui pembangunan ladang solar di Hulu Bernam,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Projek Solar Panel Tempat Letak Kereta di Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd Zon Perindustrian Bebas Telok Panglima Garang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri akan menumpukan kepada usaha memastikan setiap bangunan terlibat mencapai potensi penuh, termasuk piawaian bangunan hijau.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan penubuhan pusat adaptasi perubahan iklim di Selangor pada tahun lalu, yang menyokong usaha memperkukuhkan agenda kelestarian di bangunan negeri.
“Kita tahu, sekiranya kita mahu menggalakkan syarikat swasta atau industri menjalankan inisiatif seperti ini, kita harus menjadi contoh terlebih dahulu.
“Inisiatif ini akan berjalan secara berterusan sehingga kita mampu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih baik,” katanya.
Jun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan tawaran rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus bagi pemasangan bumbung panel solar di kawasan perumahan sebagai langkah menggalakkan rakyat memanfaatkan teknologi hijau dan mampan.
Insentif menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu turut merangkumi pemasangan sistem penuaian air hujan, proses kitar semula, sistem pengkomposan sisa makanan serta unit pengecasan kenderaan elektrik.









