Bidang solar, AI pemacu tenaga kerja masa depan

15 Apr 2026, 12:00 PM
Bidang solar, AI pemacu tenaga kerja masa depan
Bidang solar, AI pemacu tenaga kerja masa depan
Bidang solar, AI pemacu tenaga kerja masa depan
Bidang solar, AI pemacu tenaga kerja masa depan
Bidang solar, AI pemacu tenaga kerja masa depan

SHAH ALAM, 15 APRIL: Bidang tenaga solar dan kecerdasan buatan (AI) menjadi pemacu utama pembentukan tenaga kerja masa depan seiring perkembangan automasi data serta teknologi robotik dalam industri.

Pengurus Besar Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) Masliza Osman berkata pembangunan kemahiran tenaga kerja perlu bergerak seiring perubahan teknologi bagi memenuhi keperluan industri.

Sehubungan itu, katanya, SHRDC ditubuhkan hasil kerjasama industri bersama Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program latihan serta peningkatan kemahiran yang selari dengan keperluan semasa.

“Fokus utama kami adalah memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran relevan melalui latihan yang menepati keperluan industri,” katanya kepada Media Selangor.

Masliza berkata setiap program dirangka melalui sesi libat urus bersama industri selain memberi penekanan kepada latihan praktikal bagi memudahkan peserta mengaplikasikan kemahiran dalam pekerjaan.

Mengulas lanjut, katanya permintaan tenaga kerja dalam sektor solar semakin meningkat, khususnya bagi pemasangan sistem di kediaman dan bangunan komersial.

“Selangor antara negeri yang mencatat permintaan tinggi berikutan pembangunan pesat, justeru kami memberi fokus melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang ini,” katanya.

Selain kemahiran teknikal, katanya, SHRDC turut menekankan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan pemikiran kritis bagi melahirkan tenaga kerja holistik.

Seiring perkembangan AI, beliau berkata SHRDC memperkenalkan program berkaitan termasuk automasi data, robotik dan aplikasi praktikal bagi memastikan tenaga kerja bersedia menghadapi perubahan teknologi.

“Perkembangan teknologi yang pantas menjadi cabaran utama, sekali gus menuntut silibus sentiasa dikemas kini melalui kerjasama berterusan bersama industri.

“Selain itu, SHRDC turut menawarkan pembelajaran fleksibel termasuk kelas dalam talian serta ‘mobile learning’ bagi memperluas akses latihan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.