SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 70 bangunan kerajaan di Selangor, termasuk premis pihak berkuasa tempatan (PBT), telah berdaftar di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM) yang membolehkan pengguna elektrik menjana tenaga bersih menerusi pemasangan panel solar di atas bumbung.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata data daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia menunjukkan bangunan berkenaan mempunyai kapasiti pemasangan solar berjumlah 5.69 megawatt (MW).
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2.23 MW dijana oleh bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri serta bangunan pejabat daerah dan tanah di Selangor,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Jamaliah berkata kerajaan negeri kekal komited memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui menerusi pendekatan yang lebih tersusun dan berskala besar.
Tambahnya, inisiatif Taman Solar Berpusat di Bernam Jaya yang dibangunkan melalui kerjasama antara TNB Renewables Bhd dan Worldwide Holdings Bhd merupakan antara langkah strategik negeri untuk meningkatkan penggunaan tenaga solar di fasiliti kerajaan.
“Projek ini dijangka menjana sehingga 100 MW dan disasarkan mula beroperasi menjelang 2028, tertakluk kepada pemuktamadan perjanjian serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Projek ini dijangka meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam operasi kerajaan negeri dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan elektrik konvensional, sekali gus menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon selaras agenda pembangunan rendah karbon,” katanya.
Bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam kalangan isi rumah dan sektor swasta, Jamaliah berkata kerajaan negeri akan meneliti insentif serta rebat tambahan bagi mempercepat penggunaan tenaga solar di Selangor.
Mengulas cadangan memperluaskan pemasangan solar di rumah ibadat, beliau berkata Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SOLARIS) yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan dan berkuat kuasa tahun ini dijangka mempercepatkan penggunaan tenaga solar.
“Menerusi kaedah ini, pemohon tidak perlu menanggung kos tambahan dan pada masa sama menikmati penjimatan hasil penggunaan tenaga solar,” katanya.

Mengenai ketahanan iklim, Jamaliah berkata walaupun Selangor tidak mempunyai program seumpama Singapore Ready — latihan kebangsaan yang menguji tahap kesiapsiagaan menghadapi gangguan besar bekalan elektrik, digital dan rantaian bekalan — Pusat Adaptasi Iklim Selangor (SCAC) sedang bekerjasama dengan Monash University Malaysia bagi melaksanakan inisiatif yang mempunyai matlamat serupa.
“Kami telah membangunkan model bersepadu air-tenaga-makanan-alam sekitar (WEFE) khusus untuk Lembangan Sungai Selangor. Model ini akan digunakan bagi memetakan risiko serta mengenal pasti kawasan yang paling terdedah sekiranya berlaku sebarang gangguan.
“Menerusi data ini, kerajaan negeri boleh merancang intervensi bersasar sama ada melalui pelaburan untuk membaik pulih infrastruktur yang mengalami kebocoran atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti pemulihan kawasan tanah lembap bagi menjamin keselamatan air dan makanan,” katanya.







