Selangor wajar perluas penggunaan EV, kurangkan kebergantungan bahan api

19 Jun 2026, 1:30 PM
Selangor wajar perluas penggunaan EV, kurangkan kebergantungan bahan api

SHAH ALAM, 19 JUN: Penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai kenderaan rasmi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri wajar diperluaskan bagi mengurangkan kos bahan api serta mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga fosil ketika dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi berkata peralihan secara berperingkat daripada kenderaan petrol dan diesel kepada EV mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kerajaan susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Azmi. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Kalau boleh, penggunaan EV diperluaskan kepada kenderaan rasmi Kerajaan Negeri. Selain mengurangkan kos bahan api, ia juga membantu mengurangkan pencemaran udara.

“Setiap musibah ada hikmahnya. Mungkin sudah tiba masanya beralih ke teknologi baharu yang lebih hijau berbanding bergantung terus kepada sumber bahan api seperti ketika ini,” katanya ketika membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurutnya, penggunaan EV bukan sahaja membantu menjimatkan kos operasi, malah menyokong aspirasi Selangor untuk menjadi negeri yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Abbas yang juga Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 turut mencadangkan penggunaan EV diperluaskan kepada kenderaan rasmi kontinjen sebagai langkah mengurangkan penggunaan petrol dan diesel.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan lawatan ketika hadir dalam Pelancaran Pusat Kompetensi Kenderaan EV & Sistem Solar Autotronics di Autotronics, Subang 2 pada 4 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Selain sektor pengangkutan, beliau berkata usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga konvensional boleh diperkukuh menerusi pemasangan sistem solar di institusi rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil dan tokong.

Katanya, langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos utiliti, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan tenaga boleh diperbaharui serta usaha menangani perubahan iklim.

“Institusi rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil dan tokong harus dilibatkan dalam program penggunaan solar supaya mereka turut memahami kepentingan beralih kepada sumber tenaga terkini,” katanya.

Mengulas Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, Abbas menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai pendekatan menyeluruh yang mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Katanya, pakej itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada bantuan kebajikan dan keselamatan makanan, malah merangkumi aspek pendidikan, perumahan, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani gangguan bekalan serta ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat.

Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi bagi Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.