SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Negeri mahu memperkukuh padanan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri bagi memastikan pembangunan bakat kekal relevan dengan perubahan pasaran pekerjaan.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan TalentCorp yang diwakili Naib Presiden merangkap Ketua MyMAHIR Workforce Solutions, Dr Aravintha Vengettaramann, serta Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Biruntha L.M.
Menurutnya, perbincangan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan tenaga kerja Selangor supaya pembangunan bakat dan kemahiran selari dengan keperluan industri semasa dan masa depan.
"Bagi Selangor, pendekatan ini dilihat relevan dalam memastikan pembangunan modal insan bukan hanya tertumpu pada penyediaan latihan, tetapi benar-benar berdasarkan permintaan industri, kemahiran yang diperlukan dan peluang perkejaan yang tersedia," katanya menerusi hantaran di Facebook.
TalentCorp turut membentangkan pendekatan menerusi MyMAHIR dan Future Skills Talent Council (FSTC) yang memfokuskan keperluan sebenar industri.
Ia merangkumi pemetaan permintaan tenaga kerja dan pekerjaan, pengenalpastian kemahiran kritikal serta pembangunan laluan peningkatan dan latihan semula kemahiran yang lebih tersasar.
“Kita turut membincangkan pendekatan berteraskan industri yang menghubungkan Kerajaan Negeri, majikan, penyedia latihan dan pencari kerja.
“Matlamatnya supaya latihan yang diberikan benar-benar membawa kepada peluang pekerjaan,” kata Papparaidu.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga terbuka memperluas kerjasama strategik dengan TalentCorp bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing.
“Kerjasama ini penting untuk memperluas peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan tenaga kerja Selangor bersedia menghadapi keperluan masa depan,” katanya.







