ad

Rakyat Selangor berkemahiran tinggi, mampu saingi tenaga kerja terbaik Asia

9 Okt 2025, 1:01 PM
Rakyat Selangor berkemahiran tinggi, mampu saingi tenaga kerja terbaik Asia
Rakyat Selangor berkemahiran tinggi, mampu saingi tenaga kerja terbaik Asia

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Meskipun Selangor tidak mempunyai banyak sumber asli, namun kekuatan sebenar terletak pada rakyatnya yang berkemahiran tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata rakyat Selangor mampu bersaing dengan tenaga kerja terbaik di Asia Tenggara dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai hab utama ekonomi digital dan teknologi di rantau ini.

"Dengan langkah ini, kita bukan sahaja memperkukuh sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik di Malaysia.

"Tetapi juga mewujudkan peluang perniagaan kepada industri tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang seiring dengan pesatnya sektor kecerdasan buatan (AI) dan teknologi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari .

Beliau berkata demikian pada Perasmian AI x Semiconductor Blitzscaling Malaysia's Deep Tech di Hotel Grand Hyatt, di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama rakan strategik ketika majlis Perasmian AI x Semiconductor Blitzscaling Malaysia's Deep Tech di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menyentuh pencapaian Pusat Digital Ekonomi Selangor (SIDEC), Amirudin berkata pusat itu membantu 320 syarikat pemula dengan 51 peratus daripadanya berjaya mendapat pembiayaan, selain kejayaan sektor e-dagang yang menjana nilai dagangan bermula 2018 lebih RM526.1 juta.

"Ramai antara mereka turut memperoleh pendedahan di peringkat antarabangsa," katanya.

Syarikat ini meliputi bidang AI dalam kesihatan, bioteknologi dan pertanian pintar serta 31 PKS yang merangkumi sektor makanan & minuman (F&B), kesihatan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup.