Loke sudah serah surat letak jawatan, berkuasa kuasa sebaik Najib jalani tahanan rumah

29 Sep 2026, 5:08 AM
Loke sudah serah surat letak jawatan, berkuasa kuasa sebaik Najib jalani tahanan rumah

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam. 

Beliau berkata Anwar memintanya untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat masa ini, namun peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

“Apabila Datuk Seri Najib balik rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa.

“Peletakan jawatan ini adalah keputusan parti berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak bersetuju,” katanya selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026 di sini, hari ini. 

Loke berkata surat berkenaan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri ketika kedua-duanya mengadakan perbincangan mengenai keputusannya untuk berundur daripada Jemaah Menteri.

Buat masa ini, beliau masih menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan dan belum ada pengganti dilantik bagi jawatan berkenaan.

Loke turut menegaskan keputusannya untuk berundur kekal selaras dengan pendirian DAP.

Pada 19 Sept, Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Beliau berkata menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.