SHAH ALAM, 12 NOV: Kekeliruan terhadap istilah perundangan dalam perintah awal Mahkamah Tinggi menjadi antara faktor pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak dapat dilaksanakan serta-merta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak pernah berniat melengahkan pelaksanaan perintah berkenaan, sebaliknya perlu mendapatkan penjelasan undang-undang sebelum Jabatan Penjara mengambil tindakan.
Menurutnya, kekeliruan timbul apabila perintah awal mahkamah menggunakan istilah ‘Order of Discharge’ selepas bekas Perdana Menteri itu membayar denda RM50 juta.
Beliau berkata, penggunaan istilah ‘discharge’ dan ‘release’ membawa implikasi berbeza dari sudut undang-undang, khususnya berkaitan kuasa Jabatan Penjara terhadap Najib.
“Jabatan Penjara sudah tiada kuasa jika mahkamah ‘discharge’ Najib selepas membayar denda tempoh hari. Sebaliknya, kita boleh terus tahan beliau di rumah jika mahkamah menggunakan terma ‘release’.
“Saya minta Komisioner Jeneral Penjara merujuk kekeliruan ini kepada penasihat undang-undang kerajaan iaitu Peguam Negara. Kami hanyalah pelaksana, bukannya pentafsir undang-undang.
“Ternyata selepas dibawa ke mahkamah, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi membatalkan ‘Discharge Order’, pada 6 November lalu, dan mengeluarkan perintah pembebasan bersyarat,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) berhubung penyelarasan pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Saifuddin berkata kerajaan perlu memastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang tanpa menjejaskan penghormatan terhadap institusi diraja.
“Kita tak boleh ‘underestimate’ dan perlu mengambil masa untuk mendapatkan penjelasan, tetapi kalau ini kita dianggap ingkar, derhaka dan melengah (pelaksanaan perintah tahanan di rumah).
“Kita pun tak boleh buat keputusan (tanpa pemahaman jelas). Kesetiaan kepada institusi diraja tidak bermakna kita boleh mengabaikan persoalan undang-undang.
“Mempertahankan undang-undang juga tidak bermakna kita mempertikaikan institusi diraja dan perkara ini mesti seiring,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau bersedia membawa cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) untuk menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Langkah itu bagi membolehkan orang ramai memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai prosedur pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib.
“Ini idea baik dan saya boleh bawa cadangan Muar (Syed Saddiq) supaya minit Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan untuk memberi perspektif lebih tepat mengenai pelaksanaannya.
“Esok (13 Nov) akan ada mesyuarat Jemaah Menteri dan saya akan bawa syor daripada Muar ini,” katanya.







