Anwar mahu runding semula peletakan jawatan Loke

12 Nov 2026, 3:00 PM
Anwar mahu runding semula peletakan jawatan Loke

MELAKA, 12 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berunding semula dengan Anthony Loke berkaitan peletakan jawatan Ahli Parlimen Seremban itu sebagai Menteri Pengangkutan.

Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau belum membuat keputusan berkaitan surat peletakan jawatan Loke yang telah diterimanya sebelum ini.

“Ya, memang saudara Loke ada tulis surat kepada saya letak jawatan serta-merta, tetapi saya sebagai Perdana Menteri belum terima peletakan jawatan dia.

“Jadi, ketika ini, dia nak cuti sekejap, okey. Tetapi, peletakan jawatan kita kena runding semula,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Jelajah PH, Melaka Rumah Kita di Bukit Baru, di sini hari ini.

Anwar berkata Loke mempunyai rekod pentadbiran yang bersih dan amanah, selain bekerja kuat membawa pelbagai inisiatif pada peringkat Kementerian Pengangkutan bagi manfaat rakyat.

“Kita lantik (Loke) menteri, menteri itu amanah, bersih. Menteri itu kerja kuat. Menteri itu beri banyak cadangan, projek, program untuk memudahkan perjalanan rakyat dan juga pemandu-pemandu teksi.

“Beliau antara menteri paling kuat bekerja, diterima baik oleh pegawai-pegawai di kementerian. Jadi, sebab itu saya kata orang macam ini yang baik, dia orang (mereka) suruh berhenti. Yang teruk, dia suruh kekal. Apakah dunia ini sudah terbalik?” katanya.

Loke pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan beliau berkuat kuasa serta-merta, selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.