Tujuh Sasterawan Negara tolak undang-undang pilih bulu

13 Nov 2026, 3:10 PM
Tujuh Sasterawan Negara tolak undang-undang pilih bulu

SHAH ALAM, 13 NOV: Tujuh Sasterawan Negara menggesa prinsip kedaulatan undang-undang ditegakkan secara adil dan saksama tanpa pengecualian, termasuk terhadap individu yang mempunyai kedudukan, kuasa, kekayaan dan pengaruh dalam masyarakat.

Menerusi kenyataan bersama, mereka menegaskan kedaulatan undang-undang merupakan asas penting dalam pembinaan negara demokratik, berintegriti dan bermaruah, selain menjamin hak, kebebasan, keselamatan serta keadilan kepada setiap rakyat.

“Kami ingin menegaskan keadilan tidak seharusnya menjadi hak istimewa golongan tertentu, sebaliknya merupakan hak asasi setiap insan. Tidak boleh wujud dua ukuran dalam pelaksanaan undang-undang, satu untuk mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh, manakala satu lagi untuk rakyat biasa.

“Setiap individu hendaklah tertakluk pada prinsip dan proses perundangan yang sama. Tiada sesiapa yang boleh menganggap dirinya terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan dan tiada sesiapa yang terlalu lemah sehingga dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr A Samad Said, Datuk Baharuddin Zainal, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Rahman Shaari.

Gesaan berkenaan dibuat susulan perkembangan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd di rumah selepas mendapat pengampunan diraja.

Berikut kenyataan penuh:

SASTERAWAN NEGARA MENYERU KEDAULATAN UNDANG-UNDANG DITEGAKKAN SECARA ADIL, SAKSAMA DAN TANPA PENGECUALIAN

Kami Sasterawan Negara berpandangan bahawa kedaulatan undang-undang merupakan asas penting kepada pembinaan sebuah negara yang demokratik, berintegriti dan bermaruah.

Undang-undang bukan sekadar himpunan peraturan yang mengawal kehidupan masyarakat, tetapi merupakan landasan yang menjamin hak, kebebasan, keselamatan dan keadilan untuk setiap warga negara.

Oleh itu, prinsip kedaulatan undang-undang hendaklah ditegakkan secara adil dan saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, kekayaan, pengaruh, keturunan, kaum, agama mahupun latar belakang seseorang.

Kami ingin menegaskan bahawa keadilan tidak seharusnya menjadi hak istimewa golongan tertentu, sebaliknya merupakan hak asasi setiap insan. Tidak boleh wujud dua ukuran dalam pelaksanaan undang-undang, satu untuk mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh, manakala satu lagi untuk rakyat biasa.

Setiap individu hendaklah tertakluk pada prinsip dan proses perundangan yang sama. Tiada sesiapa yang boleh menganggap dirinya terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan, dan tiada sesiapa yang terlalu lemah sehingga dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan.

Sebagai karyawan bidang kesusasteraan, kami percaya bahawa bahasa dan sastera mempunyai tanggungjawab untuk menyuarakan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

Sastera mengingatkan kita bahawa martabat sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi, kecanggihan teknologi atau kekuatan institusinya, tetapi juga melalui cara negara tersebut melayani rakyatnya, khususnya mereka yang tidak mempunyai kuasa, pengaruh dan kemampuan untuk memperjuangkan kepentingan sendiri.

Keadilan yang sebenar ialah keadilan yang dapat dirasakan oleh semua lapisan masyarakat.

Kami sekali lagi menegaskan bahawa bahawa undang-undang yang adil ialah undang-undang yang melindungi semua, bukan hanya mereka yang berkuasa; yang mendengar suara semua termasuk rakyat dan orang kecil, bukan hanya mereka yang berpengaruh; dan yang memberikan keadilan kepada semua, bukan hanya mereka yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkannya.

Prinsip Kedaulatan Undang-undang’ dalam Rukun Negara bukan hanya untuk dilafazkan, tetapi dihayati dan dilaksanakan sehingga tiada seorang pun berada di atas undang-undang dan tiada seorang pun dinafikan perlindungan undang-undang.

Inilah asas sebuah negara Malaysia yang bermaruah, masyarakat yang bersatu dan peradaban yang menjunjung nilai kemanusiaan.

Datuk Seri (Dr) A Samad Said

Dato’ Baharuddin Zainal

Prof (E) Dr Muhammad Haji Salleh

Dato’ Dr Anwar Ridhwan

Dato’ Dr Zurinah Hassan

Datuk Dr Siti Zainon Ismail

Dato’ Rahman Shaari

12 November 2026

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.