SEPANG, 29 SEPT: Sambutan luar biasa terhadap Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini berpotensi menyaksikan jualan tiket mencecah 100,000 menjelang perlumbaan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Okt ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif berkata setakat ini kira-kira 95,000 tiket telah terjual, sekali gus memperlihatkan sambutan yang menggalakkan untuk menyaksikan aksi F1 di Malaysia selepas sembilan tahun tidak berlangsung di negara ini.
“Kami yakin jumlah itu akan mencecah 100,000 dan berdasarkan semua perlumbaan F1 yang telah berlangsung tahun ini, jumlahnya amat memberangsangkan. Kami percaya pengalaman yang dicipta bersama dengan Bahrain akan menjadikan ia lebih istimewa.
“Pada zaman kegemilangan GP Malaysia, jumlah tiket yang terjual hampir 40,000 hingga 50,000 tetapi kali ini amat luar biasa. Kerjasama antara dua negara ini memberikan impak tersendiri, dan buat masa ini acara ini hanya berlangsung sekali, oleh itu ia menjadi daya tarikan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini.
Tiket untuk acara itu dijual dalam bentuk pas tiga hari, dan tiada tiket untuk satu hari.
Jumlah kehadiran tertinggi bagi GP Malaysia di SIC direkodkan pada 2008 apabila 126,690 penonton menghadiri acara tiga hari itu pada edisi tahun ke-10.
Azhan berkata pelawat antarabangsa menyumbang 50 peratus daripada jualan tiket, sekali gus menyerlahkan daya tarikan perlumbaan itu dalam kalangan peminat dari luar negara.
“Berdasarkan daripada pembeli tiket, kami mendapati bahawa 50 peratus adalah dalam kalangan pengunjung antarabangsa. Lebih ramai pelancong datang dan berbelanja, lebih baik impaknya terhadap ekonomi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata SIC sedang giat melakukan penambahbaikan, termasuk menaik taraf paddock.
Azhan berkata skala operasi itu turut menjadi cabaran besar dari segi logistik, dengan jumlah kargo Formula 1 yang diuruskan dianggarkan empat hingga lima kali lebih banyak berbanding kargo yang biasanya dikendalikan SIC bagi Grand Prix Motosikal (MotoGP).
Beliau berkata peminat juga bakal dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik yang disediakan oleh Litar Antarabangsa Bahrain (BIC).
“Saya sudah melihat senarai penghibur yang bakal dibawakan oleh Bahrain. Saya yakin mereka yang telah membeli tiket akan menikmati pengalaman yang berbaloi,” katanya.
BIC sebelum ini mengumumkan artis Axwell, yang juga DJ dan pernah menerima pencalonan untuk Anugerah Grammy akan membuat persembahan secara langsung di SIC pada Sabtu, 3 Okt.
Pengasas bersama Swedish House Mafia dan Axwell Λ Ingrosso itu akan menyertai barisan artis yang membuat persembahan, selain penyanyi dan penerbit terkenal Martin Garrix akan mengetuai konsert selepas perlumbaan pada Ahad, 4 Okt.
Sementara itu, Ketua Eksekutif BIC Sheikh Salman Isa Al Khalifa berkata kehadiran pengunjung dijangka memberikan impak ekonomi, sekali gus memberikan manfaat kepada sektor seperti hotel, restoran dan pengangkutan.
Beliau berkata acara itu dijangka menjana impak ekonomi kira-kira USD240 juta (RM979 juta) kepada Malaysia, sekali gus menyerlahkan nilai komersial dan pelancongan yang lebih luas, dengan membawa kembali Formula 1 ke SIC.
Sheikh Salman berkata harapan utamanya adalah supaya perlumbaan berlangsung dengan selamat, selain memberikan pengalaman yang sukar dilupakan kepada peminat, serta membolehkan mereka merasai pengalaman seperti di Bahrain.
“Saya berharap mereka dapat melihat budaya kami, merakamkan kenangan, mengambil gambar dan pulang dengan senyuman,” katanya.
Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah Gulf Air Bahrain GP dari 2 hingga 4 Okt susulan perjanjian yang ditandatangani antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.






