KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai sosok ibu yang penuh kelembutan dan kasih sayang, selain sahabat serta rakan karib yang amat dekat dengan beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar berkata negara akan terus mengenang jasa dan curah bakti Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang ibu yang menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih, malah berupaya membuatkan setiap orang berasa dekat dan dihargai.
Beliau berkata sukar bagi beliau dan Wan Azizah menerima hakikat bahawa Allahyarham kini telah pergi, lebih-lebih lagi apabila setiap kenangan indah yang dikongsi bersama kembali terbayang dalam ingatan.
“Hadir bersama-sama Azizah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Kak Hasmah, sosok ibu yang kelembutan dan kasihnya akan sentiasa kami kenang, selain juga sebagai seorang sahabat dan rakan karib pada tahun-tahun lampau,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini yang turut disertakan beberapa keping gambar beliau dan isteri menziarahi jenazah Allahyarham serta bertemu dengan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar dan Wan Azizah turut mendoakan agar Dr Mahathir terus diberi kekuatan untuk menghadapi ujian berkenaan, selain dikurniakan kesihatan dan sentiasa dipayungi kasih sayang keluarga.
Mereka turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni Allahyarham, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Terima kasih juga Kak Hasmah atas setiap budimu kepada kami, dan pastinya doa serta ingatan kami mengiringi pemergianmu,” katanya.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada 6.20 petang tadi di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya dengan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
-- BERNAMA








