Tun Dr Siti Hasmah sempat beritahu sudah ‘bersedia’ meninggalkan keluarga

28 Sep 2026, 1:44 PM
Tun Dr Siti Hasmah sempat beritahu sudah ‘bersedia’ meninggalkan keluarga
Tun Dr Siti Hasmah sempat beritahu sudah ‘bersedia’ meninggalkan keluarga
Tun Dr Siti Hasmah sempat beritahu sudah ‘bersedia’ meninggalkan keluarga
Tun Dr Siti Hasmah sempat beritahu sudah ‘bersedia’ meninggalkan keluarga

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali seakan-akan sudah mengetahui ajalnya semakin dekat apabila meluahkan kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bahawa beliau sudah bersedia meninggalkan keluarga, malam tadi.

Menceritakan detik itu, Mukhriz berkata Dr Siti Hasmah memaklumkan kepadanya bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan semua, sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

“Saya bersama beliau malam semalam. Waktu itu beliau sudah berada di IJN kerana sakit yang lain. Bagaimanapun, beliau sangat ceria.

“Beliau ada memberitahu saya bahawa beliau sudah bersedia meninggalkan kita semua. Nampaknya beliau sudah bertawakal dan pagi tadi, tanpa dijangka, pihak hospital memaklumkan beliau mengalami sakit jantung.

“Doktor ada melakukan CPR, namun tepat jam 9.30 pagi, beliau pergi meninggalkan kita,” katanya kepada pemberita.

Mukhriz berkata Dr Siti Hasmah dimasukkan ke IJN sejak Sabtu lalu, namun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai komplikasi yang dialami ibunya.

Ditanya keadaan terkini bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz dalam keadaan sebak berkata pemergian ibunya pasti memberi kesan kepada bapanya memandangkan pasangan itu hidup bersama selama 75 tahun.

“Tun Dr Mahathir ada di IJN. Dia tidak sakit, tetapi menemani Allahyarham sepanjang Allahyarham berada di hospital,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata semua ahli keluarga masih terkejut dengan pemergian Dr Siti Hasmah memandangkan Allahyarham berada dalam keadaan ceria ketika berkumpul bersama keluarga di IJN semalam.

“Memang terkejut. Pagi tadi berlaku perubahan yang besar dan malangnya tidak dapat dipulihkan dan beliau meninggalkan kita semua,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang memastikan proses pengebumian berjalan lancar.

Terdahulu, jenazah Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, di sini, dengan penuh istiadat pengebumian pembesar negara.

Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun. Allahyarham merupakan antara wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.