SHAH ALAM, 30 JULAI: Kegiatan seorang lelaki memproses air ketum di dalam kawasan hutan dengan menggunakan khemah sebagai lokasi operasi terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Belukar, Pasir Mas, Kelantan petang semalam.
Serbuan kira-kira jam 3.30 petang menerusi Op Taring Wawasan oleh pasukan khas Batalion 7 PGA membawa kepada penahanan lelaki berusia 38 tahun itu. Turut dirampas 277 bungkusan air ketum serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses bahan terlarang berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan dilakukan hasil risikan dan intipan yang dijalankan pihaknya.
"Menerusi serbuan di kawasan hutan itu, suspek didapati memasang sebuah khemah yang menempatkan pelbagai peralatan memproses air ketum termasuk periuk, dapur dan tong gas, selain 277 bungkusan air ketum yang telah siap diproses.
"Susulan itu, kita menahan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM10,000.
"Hasil soal siasat, suspek mendakwa mendapatkan bekalan daun ketum pada harga RM40 sekilogram.
"Suspek turut mendakwa air ketum yang siap diproses akan dijual kepada penduduk sekitar kampung berkenaan pada harga RM10 bagi setiap bungkusan plastik," katanya.
Jelasnya, suspek dipercayai mula menjual air ketum terbabit sejak tiga bulan lalu.
"Pemantauan dan pemeriksaan di sektor Pasir Mas akan terus dipergiatkan bagi memastikan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti penyalahgunaan ketum," katanya.







