SHAH ALAM, 25 SEPT: Seramai 28 jemaah haji dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) menerima Insentif Haji Muassasah Selangor 2025 berjumlah RM1,000 seorang.
Wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan jemaah selain menjadi tanda sokongan serta keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat yang menunaikan rukun Islam kelima.
“Bersyukur seramai 28 jemaah haji muassasah dari kawasan DUN Kuala Kubu Bharu telah menerima bantuan RM1,000 seorang menerusi inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 1446H/2025M.
"Permohonan dibuka pada 22 April hingga 25 Julai lalu melalui pejabat DUN masing-masing,” katanya menerusi Facebook.
Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi meneruskan insentif yang diperkenalkan sejak 2022 untuk membantu meringankan beban kewangan jemaah haji Selangor.
Bermula tahun lalu, nilai insentif ditingkatkan kepada RM1,000 berbanding RM500 pada 2022 dan 2023, dengan seramai 12,000 jemaah telah mendapat manfaat setakat 2024.
Selain itu, Selangor turut menaja sepenuhnya 75 jemaah haji dalam kalangan kurang berkemampuan pada tahun ini, berbanding 36 individu pada 2024.