Panggilan HEAL 15555 hampir berganda, rakyat makin cari bantuan

28 Sep 2026, 7:18 AM
Panggilan HEAL 15555 hampir berganda, rakyat makin cari bantuan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Panggilan ke talian bantuan kesihatan mental HEAL 15555 hampir berganda kepada 90,981 tahun lalu berbanding 42,990 pada 2024, sekali gus menunjukkan semakin ramai rakyat tampil mendapatkan sokongan psikologi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan itu tidak wajar ditafsirkan semata-mata sebagai petanda masalah kesihatan mental semakin serius, lapor Berita Harian.

Sebaliknya, katanya, angka berkenaan turut mencerminkan peningkatan kesedaran dan kesediaan masyarakat mendapatkan bantuan profesional.

“Adakah kita sedang berdepan krisis? Mungkin jumlah ini akan terus meningkat dan mungkin berganda.

“Tetapi pada masa sama, rakyat Malaysia semakin sedar dan bersedia mendapatkan bantuan, intervensi serta sokongan psikologi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Pencegahan Mencederakan Diri Peringkat Kebangsaan bertemakan Change the Narrative, Ignite Hope di Kolej Poly-Tech MARA, Meru di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, HEAL 15555 menerima 267,873 panggilan sejak diperkenalkan lebih empat tahun lalu susulan pandemik COVID-19.

Daripada jumlah itu, 220,856 pemanggil atau 82 peratus menerima sokongan emosi, manakala 47,014 atau 18 peratus menerima intervensi lebih khusus.

Perkhidmatan itu dikendalikan pegawai psikologi dan kaunseling, kaunselor serta ahli psikologi Kementerian Kesihatan.

Dzulkefly berkata HEAL 15555 turut mengendalikan 518 kes krisis tingkah laku bunuh diri merangkumi idea dan percubaan bunuh diri.

Daripada jumlah itu, 347 kes membabitkan idea bunuh diri menerima intervensi secara langsung, manakala 171 kes percubaan bunuh diri dirujuk menerusi pengaktifan MERS 999 dengan kerjasama polis dan jabatan kecemasan.

“Ini usaha antara agensi. Polis dan jabatan kecemasan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menangani kes percubaan bunuh diri,” katanya.

Beliau berkata peningkatan panggilan juga menunjukkan literasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat semakin baik.

“Ia bukan semata-mata bermakna lebih ramai cuba membunuh diri. Saya mahu ia turut dilihat sebagai peningkatan kesedaran dan kesediaan mendapatkan bantuan serta sokongan psikososial,” katanya.

Dzulkefly berkata kewujudan HEAL 15555 penting bagi memastikan individu yang berdepan tekanan atau krisis mendapat akses kepada bantuan segera.

Kerajaan, katanya, akan terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental dan psikososial serta menggalakkan masyarakat mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.