PUTRAJAYA, 23 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai menghentikan penggunaan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual dan bahan larangan kerana berisiko menjejaskan kesihatan.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan produk terbabit ialah Toporin - Hydra Sensitive Cream yang mengandungi miconazole dan Wan Fu Shuang Lotion yang dikesan mengandungi imazalil.
Menurut KKM, kedua-dua produk berkenaan tidak dibenarkan dijual di Malaysia dan pengguna dinasihatkan mengelakkan pembelian serta penggunaannya.
“Miconazole tidak dibenarkan digunakan dalam kosmetik di Malaysia. Produk yang mengandungi bahan ini diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan,” menurut kenyataan hari ini.
KKM menjelaskan ubat yang mengandungi miconazole hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan.
Penggunaan tanpa pengawasan sewajarnya boleh meningkatkan risiko kerintangan antimikrob, sekali gus mengurangkan keberkesanan rawatan jangkitan pada masa hadapan.
Sementara itu, imazalil yang turut dikenali sebagai enilconazole merupakan bahan aktif racun kulat yang dilarang sama sekali dalam formulasi kosmetik.
Menurut KKM, pendedahan kepada bahan berkenaan boleh menyebabkan kerengsaan mata yang serius, manakala pendedahan berulang atau berpanjangan berpotensi menjejaskan fungsi hati.
Sehubungan itu, penjual dan pengedar diarahkan menghentikan serta-merta penjualan dan pengedaran kedua-dua produk terbabit.
KKM menegaskan penjualan kosmetik tidak bernotifikasi melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, hukuman meningkat kepada denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Orang ramai yang sedang menggunakan produk berkenaan dinasihatkan menghentikan penggunaannya segera dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami ketidakselesaan atau kesan sampingan.
Pengguna juga boleh menyemak status notifikasi dan senarai kosmetik yang dibatalkan menerusi laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my.








