Tun Siti Hasmah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara

28 Sep 2026, 4:26 AM
Tun Siti Hasmah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberikan penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera telah diarahkan membantu pengurusan serta memberikan taraf istiadat berkenaan kepada Allahyarham.

Beliau berkata negara akan terus mengenang jasa Allahyarham yang disifatkan sebagai sosok keibuan dan banyak menabur bakti sepanjang hayatnya.

“Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi.

“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar turut menyampaikan ingatan dan doa kepada suami Allahyarham, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.

“Al-Fatihah,” katanya.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama. Allahyarham meninggalkan tujuh anak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.