PUTRAJAYA, 28 SEPT: Program Alunan Mahabbah Madani yang berlangsung selama dua hari di Dataran Putrajaya mampu mendekatkan umat Islam dengan Nabi Muhammad SAW selain membimbing masyarakat menjadi hamba Allah yang baik dan bertakwa.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata majlis keagamaan itu turut mendidik masyarakat membudayakan amalan zikir dan selawat sebagai rutin harian.
Menurutnya, amalan berkenaan juga menjadi ikhtiar memohon perlindungan daripada bencana di dunia dan akhirat.
“Mahabbah kita anjurkan hari ini (malam tadi) dan semalam (kelmarin), insya-Allah akan menjadi amalan semasa ini, yang melengkapkan dunia kita dengan kasih Allah SWT.
“Alunan Mahabbah bukan hanya sekdar tajuk, bukan hanya sekdar program.Insya-Allah akan memimpin, memandu, membimbing kita untuk menjadi umat yang baik. Kita akan menjadi hamba Allah yang taat,” katanya pada majlis berkenaan malam tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan, yang bersama-sama mengalunkan zikir serta selawat.
Berlangsung malam kelmarin dan malam tadi, program anjuran bersama Kerajaan Selangor dengan Jabatan Perdana Menteri bertujuan menyemai rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW itu berjaya menghimpunkan hampir 100,000 umat Islam.
Pada malam terakhir malam tadi, majlis yang menjadi simbolik penutup Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 turut diisi dengan pelbagai acara keagamaan antaranya tausiyah disampaikan pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, selain persembahan oleh Ustaz Neezam dan kumpulan Babul Musthofa.
Majlis terbabit yang merupakan kesinambungan program Darul Ehsan Berselawat kerap dianjurkan termasuk ketika ambang tahun baharu dan sambutan Hari Kemerdekaan yang menghimpunkan ribuan umat Islam.
Sebelum ini, Amirudin menyeru umat Islam memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai ikhtiar menenangkan jiwa ketika berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata amalan itu tidak seharusnya dilakukan ketika majlis tertentu sahaja, sebaliknya wajar dijadikan rutin termasuk di rumah dan institusi.












