Alunan Mahabbah Madani himpun 100,000 umat Islam, semai kecintaan kepada Rasulullah

28 Sep 2026, 1:00 AM
Alunan Mahabbah Madani himpun 100,000 umat Islam, semai kecintaan kepada Rasulullah
Alunan Mahabbah Madani himpun 100,000 umat Islam, semai kecintaan kepada Rasulullah
Alunan Mahabbah Madani himpun 100,000 umat Islam, semai kecintaan kepada Rasulullah
Alunan Mahabbah Madani himpun 100,000 umat Islam, semai kecintaan kepada Rasulullah
Alunan Mahabbah Madani himpun 100,000 umat Islam, semai kecintaan kepada Rasulullah

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Hampir 100,000 umat Islam membanjiri Dataran Putrajaya sepanjang dua hari penganjuran Alunan Mahabbah Madani yang bermula malam semalam.

Majlis zikir peringkat nasional yang julung kali dianjurkan itu merupakan kerjasama Kerajaan Selangor dengan Jabatan Perdana Menteri bagi menyemai rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW.

Pada malam terakhir malam tadi, program yang menjadi simbolik penutup Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 turut diisi pelbagai acara keagamaan termasuk tausiyah oleh pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Ustaz Neezam dan kumpulan Babul Musthofa, selain alunan zikir serta selawat secara beramai-ramai.

Program yang merupakan kesinambungan Darul Ehsan Berselawat itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan yang bersama-sama mengalunkan zikir serta selawat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berselawat bersama ribuan umat Islam yang hadir sempena Festival Kesenian Islam Alunan Mahabbah Madani di Dataran Putrajaya pada 27 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kerajaan Selangor sebelum ini kerap menganjurkan Darul Ehsan Berselawat termasuk ketika ambang tahun baharu dan sambutan Hari Kemerdekaan dengan menghimpunkan ribuan umat Islam.

Sementara itu, pengunjung Nurashikin Ramli, 28, berkata beliau meredah perjalanan ratusan kilometer dari Jitra, Kedah menuju ke sini bagi merasai kemeriahan program alunan berselawat beramai-ramai.

Dalam masa sama, suri rumah terbabit berkata kehadiran ke program ilmu itu juga dapat menyemai rasa kecintaan dan kasih kepada Rasulullah SAW.

“Saya tahu mengenai program ini melalui poster di media sosial. Sebelum ini saya sudah beberapa kali sertai program Darul Ehsan Berselawat.

“Jadi kali ini rasa nak datang sebab skala lebih besar. Lagi pun anak-anak memang suka dengar selawat dan zikir seperti ini,” katanya.

Nurashikin Ramli, 28, ditemui di Festival Kesenian Islam Alunan Mahabbah Madani pada 27 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu kakitangan swasta Marzuan Muhammad,44, berkata beliau memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa keluarga ke program kerohanian terbabit.

“Program ini juga dapat didik anak-anak dan tanam rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Biasakan mereka dengan program bermanfaat seperti ini,” katanya.

Marzuan Muhammad,44, ditemui di Festival Kesenian Islam Alunan Mahabbah Madani pada 27 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.