SHAH ALAM, 27 SEPT: Gurdwara Sahib Kajang (GSK) menerima peruntukan keseluruhan RM150,000 bagi menyokong pembangunan dan kemudahan institusi berusia lebih satu abad itu yang menjadi antara pusat komuniti penting masyarakat Sikh di Kajang.
Daripada jumlah itu, RM50,000 disumbangkan Menteri Digital Gobind Singh Deo manakala RM100,000 lagi diperuntukkan Kerajaan Persekutuan menerusi Perdana Menteri.
Peruntukan berkenaan diumumkan sempena perasmian bangunan baharu tiga setengah tingkat serta Darbar Sahib yang dinaik taraf di Gurdwara Sahib Kajang, semalam.
Gobind berkata sokongan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan institusi keagamaan dan komuniti mempunyai kemudahan sesuai untuk kegunaan masyarakat.
“Gurdwara ini mempunyai sejarah yang panjang dan telah menjadi sebahagian daripada komuniti di Kajang selama lebih 100 tahun.
“Dengan adanya kemudahan baharu ini, saya berharap Gurdwara Sahib Kajang dapat terus memainkan peranan sebagai pusat komuniti serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Gurdwara Sahib Kajang.
Sementara itu, Presiden Gurdwara Sahib Kajang Ranjit Singh berkata pembinaan bangunan baharu tiga setengah tingkat bermula pada 2016, manakala kerja menaik taraf Darbar Sahib sedia ada disiapkan tahun ini bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang.
Katanya, tingkat bawah bangunan baharu menempatkan Dewan Langar dan dapur lebih besar serta moden untuk menyediakan makanan percuma kepada pengunjung tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang.
“Langar adalah antara perkhidmatan utama Gurdwara. Sesiapa sahaja boleh datang dan menikmati makanan yang disediakan. Ini adalah sebahagian daripada semangat seva atau khidmat kepada masyarakat yang menjadi asas kepada komuniti Sikh,” katanya.
Bangunan baharu itu turut menempatkan perpustakaan komuniti, pejabat Gurdwara, Darbar kedua serta Punjabi Education Centre Kajang (PEC Kajang), sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pusat komuniti kepada kira-kira 450 keluarga Sikh di sekitar kawasan berkenaan.









