SHAH ALAM, 27 SEPT: Selepas 104 tahun menjadi tempat ibadat, Gurdwara Sahib Kajang (GSK) terus berkembang sebagai pusat komuniti yang memberi manfaat kepada kira-kira 450 keluarga Sikh di sekitar Kajang.
Presiden Gurdwara Sahib Kajang Ranjit Singh berkata institusi itu bukan sahaja berfungsi sebagai tempat keagamaan, malah menyediakan kemudahan pendidikan, kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan.
Menurutnya, pembukaan bangunan baharu tiga setengah tingkat dan Darbar Sahib yang dinaik taraf membolehkan GSK memperluas perkhidmatan kepada komuniti selain menyediakan kemudahan lebih baik kepada jemaah dikenali Sangat.
“Gurdwara Sahib Kajang sudah melalui perjalanan panjang dan kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupan kira-kira 450 keluarga Sikh di kawasan ini.
“Selain tempat beribadat, Gurdwara ini turut menjadi pusat komuniti untuk pendidikan, kebajikan, aktiviti masyarakat dan penyediaan makanan menerusi program dapur komuniti percuma (Langar),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian bangunan baharu GSK dan Darbar Sahib yang dinaik taraf di Kajang, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Digital Gobind Singh Deo yang turut menandatangani plak peringatan dengan disaksikan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San.
Pada 2004, GSK membeli tanah pegangan bebas seluas 37,448 kaki persegi bersebelahan bagi tujuan pembangunan masa hadapan, manakala pembinaan bangunan baharu tiga setengah tingkat bermula pada 2016 sebelum siap digunakan. Darbar Sahib sedia ada turut dinaik taraf tahun ini.
Ranjit berkata pembangunan GSK dilaksanakan secara berperingkat menerusi pelan induk bagi memastikan kemudahan disediakan memenuhi keperluan masyarakat untuk jangka panjang. “Perancangan ini bukan hanya untuk keperluan hari ini, tetapi untuk generasi akan datang supaya GSK terus menjadi tempat yang boleh dimanfaatkan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata GSK turut memberi penekanan terhadap tadbir urus baik, pengurusan kewangan secara bertanggungjawab serta pentadbiran teratur bagi memastikan kelangsungan institusi berkenaan sebagai pusat kegiatan keagamaan, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan.









