SHAH ALAM, 25 JUN: Selangor Dark Fibre Network diiktiraf kerajaan Persekutuan sebagai antara inisiatif penting yang menyumbang kepada usaha transformasi digital Malaysia.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata inisiatif diterajui Kerajaan Negeri itu memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi negara dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta memastikan kawalan keselamatan data terus terpelihara.
“Kerajaan mengiktiraf usaha negeri-negeri yang melaksanakan inisiatif sendiri seperti Selangor Dark Fibre Network dalam pembangunan digital, termasuk memperluas rangkaian gentian optik, pusat data, bandar pintar dan usaha berkaitan.
“Bagi memastikan kedaulatan data demi keselamatan dan kepentingan negara, usaha ini perlu disepadukan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam ekosistem digital yang selamat, saling berhubung dan berdaya tahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind berkata kerajaan mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan keseluruhan negara (whole-of-nation) dalam pembangunan AI dengan menyelaras inisiatif di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurutnya, pendekatan itu memberi tumpuan kepada tadbir urus data yang dipercayai, perlindungan data strategik, infrastruktur digital yang selamat serta pengukuhan keupayaan AI tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Dato' Seri Amirudin Shari, mengenai usaha mengintegrasikan inisiatif digital negeri seperti Selangor Dark Fibre Network ke dalam ekosistem digital negara sambil memastikan kawalan data negara ketika Malaysia menuju status negara bersedia AI menjelang 2030.
Gobind berkata strategi pembangunan AI negara akan dipandu oleh keperluan mengimbangi inovasi dengan aspek keselamatan bagi memastikan Malaysia mampu mengurus dan memanfaatkan data secara strategik.
“Ini bermakna Malaysia mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk menyediakan perlindungan yang sesuai, membuat keputusan sendiri mengenai pembangunan AI serta menentukan bagaimana manfaatnya diagihkan kepada rakyat.
“Kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan negara dengan memberi tumpuan kepada penyepaduan usaha kerajaan negeri ke dalam ekosistem pembangunan digital di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu turut disokong menerusi kerangka Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang menyediakan platform khusus bagi menyelaras inisiatif antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.








