Belanjawan 2027: Peruntukan Skim Ceria diharap meningkat kepada RM10 juta

27 Sep 2026, 3:00 AM
Belanjawan 2027: Peruntukan Skim Ceria diharap meningkat kepada RM10 juta
Belanjawan 2027: Peruntukan Skim Ceria diharap meningkat kepada RM10 juta

PETALING JAYA, 27 SEPT: Skim Ceria diharap menerima peruntukan sekurang-kurangnya RM10 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu penyelenggaraan pangsapuri serta menjamin kesejahteraan komuniti strata.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata pertambahan dana itu membolehkan lebih banyak pangsapuri, terutama yang uzur dan berusia puluhan tahun, diselenggara melibatkan aset infrastruktur serta kemudahan awam.

“Kita harap dalam Belanjawan 2027 yang dibentang November nanti, kita harap sangat Skim Ceria dapat peruntukan dari RM5 juta kepada RM10 juta supaya dapat bantu semua.

“Dalam masa sama, kita akan terima sokongan peruntukan MARRIS, ICU dan Projek Selangor Penyayang untuk naik taraf keperluan penduduk,” katanya merasmikan Program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Pada masa sama, Borhan mengingatkan penduduk supaya bersama-sama menjaga dan memelihara kemudahan yang dibaiki bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berucap merasmikan Program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Pangsapuri Medan Cahaya, Petaling Jaya pada 26 September 2026. Foto MBPJ

“Saya nak pesan satu perkara. Kerajaan boleh bantu baiki lif. Kerajaan boleh bantu cat bangunan. Kerajaan boleh bantu naik taraf kemudahan.

“Tetapi selepas kita baiki, kitalah yang perlu menjaganya bersama- sama. Sebab itu saya selalu sebut, kawasan bersama adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Sebelum ini, Borhan berkata penyelenggaraan infrastruktur dan fasiliti di kawasan pangsapuri kos rendah akan menjadi keutamaan tahun depan bagi memastikan penduduk mendapat persekitaran lebih sejahtera.

Katanya, bajet tambahan diperlukan untuk membaiki atau menambab baik kemudahan rosak seperti longkang, tangki air, lif atau mengecat semula terutama kediaman berusia lebih 20 tahun.

Sejak 2011 hingga 2024, 389 projek Skim Ceria telah dilaksanakan di seluruh 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor, dengan peruntukan keseluruhan RM148.2 juta.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.