Oleh Ismi Rozita
Ilustrasi Muizzah
beras hanya segenggam
lapar menjerit memekik dari dalam buaian
juga berteriak antara rumah rumah setinggan
juga kepada keras batan
juga kepada kepala keras lelaki empat puluhan
yang makan tidur mengepul asap
dia menghantuk degil di depan tangga
lelaki telah putus asa
setiap hari mengetuk nasibnya dari tin kosong
sedangkan nasibnya tin
kosong!
esok sahaja kau makan
kau kenyangkan dengan tidur
kalau mimpi; mimpikan makan
bangun! lapar lagi! tidur lagi!
tidur semula mimpi kau kenyang setahun
setahun ada tiga ratus enam puluh lima hari
mimpi tak buat kau gelandangan
mimpi jarang jadi kapitalis
mimpi jadikan engkau (aku) politikus
rakyat harus kenyang macam tikus dalam beras
uh! cuma mimpi hanya ada kelaparan lagi
mengais-ngais.







