Oleh Stefanie Kaso
Ilustrasi Muizzah
pakaikan aku baju t rolling stones kelabu
seluar jeans biru sniker putih, jenama
apa-apa pun asalkan ada gaya, aku jemu
dikurung sut hitam dicekik tali janji berjela.
pasanglah muzik blues hingga satu kota
terbuai olehnya, sejenak lupa pada lori
yang terpekik sejak subuh mengangkut
veto-veto yang berlubang di tengah jalan
berbatu yang baru diaspal.
lihat wajah bekas kekasih datang memberi
penghormatan terakhir, usahnya menangis
melebihi ibu dan ayahku, lihat tangan-tangan
musuh membawa jambak bunga, usah mereka
sembunyikan duri-duri hanya kerana kami pernah
bersengketa tentang siapa lebih berdemokrasi.
hidupkan namaku dalam sebuah puisi eulogi
meski cuma dibaca serangkap dua, bukannya
ucapan berjela memuji kebaikanku tapi pernah
sengaja lupa menyapa ketika berselisih bahu
di sebuah acara pada hari biasa.
tiada setitik air mata harus menitis di lantai
marmar licin, kerana pemergianku keraian
atas tuhan yang memilih - aku bebas untuk
tak lagi memangkah siapa-siapa.
Kapit, Sarawak







