GEORGE TOWN, 4 APR: Bekalan minyak diesel kepada nelayan di seluruh negara ketika ini berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang gangguan, dengan subsidi kerajaan terus dikekalkan bagi memastikan kelangsungan operasi sektor perikanan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata setakat ini tiada isu kekurangan bekalan diesel dalam kalangan nelayan, malah kerajaan masih mengekalkan mekanisme subsidi seperti diamalkan sebelum ini.
“Tiada gangguan bekalan, minyak ada dan subsidi kekal seperti sebelum ini namun apa yang timbul hanyalah rungutan berkaitan permintaan tambahan kuota dan perkara itu masih dalam penelitian kerana melibatkan kos tambahan kerajaan.
“Kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun bagi menampung subsidi bahan api kepada nelayan, dengan harga diesel dan petrol bersubsidi jauh lebih rendah berbanding harga runcit di stesen minyak,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Pulau Pinang di Teluk Kumbar dekat sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau yang juga Setiausaha Amanah berkata demikian mengulas rungutan nelayan berhubung gangguan bekalan diesel, sehingga dikatakan ada nelayan yang tidak turun ke laut dan berlaku kekurangan bekalan ikan.
Beliau berkata secara keseluruhan, kira-kira 70 juta liter diesel diperuntukkan setiap bulan untuk kegunaan lebih 40,000 vesel nelayan di seluruh negara merangkumi zon A, B dan C.
Muhammad Faiz berkata bantuan subsidi tersebut diberikan berdasarkan prinsip membantu golongan sasar dan bukan untuk menampung keseluruhan kos operasi nelayan.
Beliau berkata golongan tersebut tidak membeli diesel pada harga pasaran, sebaliknya pada kadar subsidi sekitar RM1.65 seliter, manakala nelayan yang menggunakan petrol diperuntukkan sekitar 50 liter sehari pada harga subsidi iaitu RM1.56 seliter.
Sementara itu mengenai harga ikan, Muhammad Faiz berkata bekalan hasil laut negara ketika ini mencukupi dan tidak terjejas, khususnya kerana Malaysia kini berada dalam musim tangkapan ikan yang tinggi.
Beliau berkata Malaysia mencatat kadar sara diri (SSR) ikan sekitar 90 peratus, dengan hanya kira-kira 10 peratus bekalan diimport dari luar negara bagi menampung permintaan domestik.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan LKIM sedang meneliti kaedah terbaik untuk menambah baik pengagihan subsidi, termasuk mempertimbangkan keperluan nelayan laut dalam kategori Zon C2 yang sebelum ini tidak menerima subsidi.








