Penghadang keselamatan platform dipasang di laluan LRT Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling

26 Sep 2026, 6:15 AM
Penghadang keselamatan platform dipasang di laluan LRT Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling
Penghadang keselamatan platform dipasang di laluan LRT Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling

SHAH ALAM, 26 SEPT: Rapid KL memulakan pemasangan penghadang keselamatan platform di stesen sepanjang Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan penumpang.

Kerja pemasangan yang bermula 1 Ogos lalu kini mencapai 85 peratus di Stesen Putra Heights, yang dipilih sebagai lokasi pertama bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan Stesen Putra Heights dipilih bagi memastikan reka bentuk, kaedah pemasangan dan aspek operasi sistem berkenaan dapat diuji serta diperhalusi sebelum diperluaskan ke stesen lain.

Pemasangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat di stesen sepanjang kedua-dua laluan berkenaan, kecuali lima stesen bawah tanah di Laluan Kelana Jaya yang telah dilengkapi sistem pintu skrin platform automatik.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Strategi dan Pembangunan) merangkap Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr Prodyut Dutt, berkata pemasangan penghadang keselamatan platform merupakan antara langkah diambil Rapid KL bagi mewujudkan persekitaran perjalanan yang lebih selamat.

“Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Pemasangan penghadang keselamatan platform ini merupakan satu lagi langkah proaktif untuk memperkukuh keselamatan di stesen, di samping memberi keyakinan kepada penumpang ketika menunggu dan menaiki tren,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan di Stesen Putra Heights membolehkan pihaknya memastikan aspek pemasangan dan operasi diperhalusi dengan baik sebelum diperluaskan ke stesen lain.

Kerja pemasangan akan dilaksanakan secara berperingkat dan diselaraskan dengan jadual penyelenggaraan harian bagi memastikan kelancaran perkhidmatan tren.

Fasa pertama pemasangan itu dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2027.

Rapid KL berkata pemasangan penghadang keselamatan platform berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian rel, selain menyediakan persekitaran stesen yang lebih selamat dan selesa kepada penumpang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.