KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Rapid KL perlu melaksanakan analisis data dan corak kerosakan secara menyeluruh bagi mengenal pasti risiko kegagalan sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) lebih awal, susulan gangguan berulang yang melibatkan Laluan Kelana Jaya sehingga menjejaskan perjalanan pengguna.
Pakar Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Madya Dr Ng Choy Peng berkata langkah itu penting bagi membolehkan tindakan penyelenggaraan pencegahan dilakukan sebelum berlaku kerosakan, khususnya terhadap komponen yang dikenal pasti mempunyai kecenderungan untuk gagal.
Beliau berkata pendekatan condition-based maintenance yang dilaksanakan ketika ini, iaitu pemantauan komponen dan penyelenggaraan apabila terdapat tanda kehausan, mungkin tidak lagi mencukupi berikutan kekerapan gangguan yang berlaku.
“Pada masa sekarang, kita perlu ada preventive maintenance di mana kita memeriksa dan menggantikan komponen mengikut jadual. Jangan tunggu sehingga saat akhir atau komponen hampir rosak baru kita buat penyelenggaraan,” katanya pada program Malaysia Petang Ini: “Gangguan LRT: Masalah Berulang, Pengguna Terus Resah”, terbitan Bernama TV petang ini.
Choy Peng berkata analisis berkenaan perlu disusuli usaha mengenal pasti root cause atau punca sebenar setiap kerosakan, khususnya jika gangguan kerap melibatkan jenis tren atau peralatan yang sama.
Menurut beliau, tanpa mengenal pasti punca sebenar, kerosakan berkemungkinan terus berlaku pada komponen atau sistem lain walaupun tindakan pembaikan telah dilakukan.
Choy Peng turut mencadangkan Rapid KL memperkukuh pangkalan data penyelenggaraan bagi membolehkan tahap penggunaan dan jangka hayat setiap komponen dipantau secara lebih sistematik.
“Maklumat itu boleh membantu pihak pengendali menentukan bila sesuatu komponen perlu diperiksa, diselenggara atau diganti sekali gus mengurangkan risiko kerosakan tidak dijangka,” katanya.
Beliau berkata keperluan berkenaan menjadi semakin penting memandangkan Laluan Kelana Jaya telah beroperasi sejak 1998, manakala proses penggantian tren baharu dijangka bermula pada 2029 dan selesai pada 2031.
Katanya, tempoh menunggu itu memerlukan langkah penyelesaian yang lebih proaktif bagi memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan LRT terus terpelihara, terutama apabila sistem berkenaan digunakan secara meluas untuk perjalanan harian.
Terdahulu, menerusi beberapa hantaran di media sosial hari ini, ramai pengguna LRT Laluan Kelana Jaya meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa menunggu lama di platform berikutan tren tidak tiba seperti dijadualkan, sekali gus menyebabkan kesesakan luar biasa di beberapa stesen.
Antara stesen yang terjejas termasuk Masjid Jamek, Dato Keramat, Pasar Seni dan Abdullah Hukum apabila orang ramai terpaksa beratur panjang hingga ke luar pagar stesen.







