Vesel nelayan langgar syarat lesen, lima kru warga asing ditahan

26 Sep 2026, 3:56 AM
Vesel nelayan langgar syarat lesen, lima kru warga asing ditahan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama tekong dan empat awak-awak warga asing pada kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi, semalam.

Penahanan itu membabitkan rampasan keseluruhan bernilai kira-kira RM3 juta.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, vesel Kelas C itu ditahan kira-kira jam 9.55 pagi kerana disyaki melanggar syarat pelesenan serta Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pemeriksaan mendapati vesel yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan seorang tekong bersama empat awak-awak berusia antara 25 hingga 52 tahun, membabitkan dua warga Thailand dan tiga warga Myanmar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan lesen, dokumen berkaitan serta peralatan penangkapan ikan.

“Empat awak-awak warga asing berkenaan juga didapati tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata vesel bersama tekong dan kesemua awak-awak itu ditahan sebelum dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.