Siasat

26 Sep 2026, 12:30 AM
Siasat

Oleh Mohamad Kholid Hamzah 

Ilustrasi Muizzah

Seperti biasa, keluar sahaja dari kamar mahkamah saya terus pecat tali leher, tanggalkan kot dan sangkut pada penyangkut baju yang bergantungan dalam kereta. Lega. Perbicaraan panjang hampir satu hari penuh. Mujur hakim keluar sekejap untuk solat Zuhur. Jika tidak, terpaksalah saya jamak. Begitulah selama ini. Kerumitan perbicaraan kadangkala membuatkan lalai.

“Tuan!” panggil seseorang. Saya menoleh, seorang lelaki bermisai nipis dan berkaca mata tersenyum menghampiri. Saya renung kasut dan seluarnya. Anggota polis berpangkat. Gayanya gagal menipu. “Ada hal hendak cakap dengan tuan,” katanya.

“Ayuh ke gerai Pak Mat Desa, boleh?” ajak saya. Sudah lewat petang dan sebutir makanan belum masuk pun ke dalam perut. Kebulur-kebelai.

Gerai Pak Mat Desa tempat kegemaran saya selepas menghadapi hari yang panjang dan rumit di mahkamah. Terbuka. Oleh sebab berada di muka simpang ke Maktab Polis, pelanggannya memang ramai polis. Yang singgah membungkus dan yang singgah makan memenuhi meja-meja kayu tukang sendiri di gerai itu. Tarikan utama, kuih udang dan kuah kacang. Juga ais jagung.

“Saya Man, orang panggil Man CID. Mungkin tuan tak ingat saya,” kata Man CID sebaik sahaja duduk.

“Tak usah bertuan-tuanlah, panggil saya pak cik pun okey,” kata saya. Panggilan tuan sudah lumrah sekarang. Nampak formal dan sesuai jika sedang berurusan. Jika sedang berborak, lebih baik panggil engkau aku sahaja. “Saya lama keluar dari sini. Ini baru kembali. Tak ingat sangat orang CID. Kebanyakannya orang baru,” tambah saya.

“Ya, orang lama ramai dah tak ada. Ingat Din Babi? Dah pencen dan tidak sihat pula,” kata Man CID. Lantas saya teringat Din Babi yang bertubuh rendah itu. Nasib tak baik, dapat gelaran begitu tetapi Din mudah sahaja menerima. Babi pun makhluk Tuhan juga katanya. Dulu zaman mudanya, Din mahir menangkap dan menembak babi. Orang Hakka Pekan siap berupah, bercup minta Din menembak menjelang Tahun Baru Cina. Ketika itu hutan masih tebal. Dusun durian pun macam hutan belukar. Banyak babi bersarang. Tak ada pula penyakit yang macam-macam, H1N1, selsema babi Afrika, demam babi hitam dan berbagai jenis penyakit lagi. Sekarang? Babi pun hampir pupus sebab berbagai penyakit akibat perubahan iklim sehinggakan harimau kurus kering dan terpaksa keluar menangkap anjing liar.

“Lama sudah Din Babi sakit?” tanya saya. Rupanya sudah setahun juga. Terbaring di rumah dan mengharapkan bantuan anak-anak mengurus diri. Man CID baru sahaja menjenguk minggu lepas.

“Apa yang mahu dibincangkan?” tanya saya. Pinggan yang sudah kosong saya sisih ke tepi. Dua butir kuih udang dan teh tarik kurang manis sudah selesai.

Man CID mengeluarkan telefon pintarnya, menatal sesuatu, kemudian mengunjukkan kepada saya. Gambar Kathy.

“Ini isteri abang?” tanyanya. Soalan yang cukup tegas dan perlu juga dijawab dengan padu. Saya berhadapan dengan CID. Saya tahu saya sekarang sedang disiasat.

“Bukan. Sebelum itu perempuan ini ada apa-apa masalah ke?” tanya saya. Man CID geleng, nampak sangat gelengnya berdalih. “Itu kawan lama saya, bukan siapa-siapa dengan saya.  Kau tahulah, orang hensem macam saya ini ramai nak berkenalan.”

Meletus gelak Man CID. Itulah kelebihan orang yang tak ada rupa, boleh buat lelucon tanpa rasa bersalah. Kadang-kadang kelebihan itu membantu membina hubungan dan menyelesaikan masalah.

“Bukan apa, bang. Perempuan ini naik dalam senarai. Maklumlah sekarang suasana di Timur Tengah agak tegang,” balas Man CID.

“Apa hendak dibimbangkan, bukankah kerajaan sudah lantik Duta Timur Tengah.  Tahulah duta tu selesaikan masalah sana,” kata saya.

Sekali lagi gelak Man CID meletus.

“Itu Duta Pantai Timur, bang. Bukan Timur Tengah…” Siapa boleh menyelesaikan masalah di Timur Tengah, dari 1920 hingga memuncak 1948. Dan kini berlanjutan selagi ada bulan dan mentari. Saya teringat kata Din Babi, ada benda yang diharamkan Tuhan, ada benda yang dihalalkan. Yang haram dibenarkan hidup melata ada sebabnya, begitu juga yang halal. Diam-diam saya menghormati prinsip hidup Din Babi itu.

Perbualan kami perlahan beralih kepada teman-teman lama kami dan cerita Din Babi menguasai, meninggalkan pokok persoalan siapa Kathy. Saya tahu, itu hanya taktik Man CID mendapatkan maklumat. Secara halus dan santai.

“Berbalik kepada kawan abang ini…” Kan saya sudah cakap, Man CID akan berpatah balik kepada soal pokok. Kathy. “Siapa dia ini sebenarnya?”

“Malas nak cerita sebenarnya…” saya diam berjeda-jeda. Mungkin terlalu lama, buat Man CID rasa rimas. “Selalunya bila awak siasat, awak cari motifkan?”

Man CID angguk.

“Sudah jumpa?” Melihat kerut dahinya, memang jelas belum jumpa. Apakah Man CID mengharapkan dia akan menemuinya berdasarkan maklumat saya?

“Kau pernah dengar kisah Din Babi jumpa komunis?” Hampir terangkat punggung Man CID mendengarkannya. Dia mungkin masih sekolah ketika kejadian itu.

Tempat ini tempat lama, wujud jauh sebelum merdeka lagi. Tentu banyak kisahnya.  Parti Komunis Malaya atau PKM yang wujud 30 April 1930 pun sudah sampai ke penghujungnya pada 2 Disember 1989. Zionis bermula lebih awal dan berjaya menjarah lalu menamakan negara haram itu pada 14 Mei 1948. Kembali kepada cerita Din Babi tadi, dia tinggal di kuarters polis di tengah pekan, bersebelahan gereja. Maka Din Babi ini ramai kenalan termasuklah Peng Kor. Dia cekap menembak dan selalu juga ambil upah menembak, gunakan senapang kawannya itulah. Suatu hari selepas menembak seekor babi yang sedang-sedang, mereka singgah di anak sungai berbatu untuk berehat. Peng tak sedap hati, ajak Din Babi cepat-cepat beredar tetapi Din Babi hendak solat Zuhur dulu.

“Walaupun dia menembak babi, dia tak pernah tinggal solat,” cerita saya.

“Aneh,” balas Man CID sekilas.

“Kita tak boleh menghakimi orang, kita bukan insan sempurna,” saya mengingatkan.

Sedang Din Babi solat muncul seorang lelaki berbaju biru, berseluar gelap keluar dari hutan dan mendekati Peng. Mereka berbual sebentar. Din Babi meneruskan solatnya. Ketika dia selesai, Din Babi sempat melihat sekilas lelaki itu sebelum menghilang ke dalam hutan. Peng kali ini tanpa kata terus menggalas buruan dan Din Babi mengikut dari belakang tak sebagaimana kelazimannya, Din Babi di depan dan Peng di belakang.

“Awak tahu kenapa?” tanya saya.

“Din tahu orang itu komunis,” jawab Man CID.

Saya angguk. Din Babi tak pernah bercakap Hokkien tetapi dia sedari kecil bercampur dengan budak-budak kampung baru. Dia faham. Dia tahu Peng menipu orang itu dengan menyatakan Din Babi orang kampung tetapi Peng kenal orang tersebut.  

“Apa tindakan Din Babi?” tanya Man CID.

Saya geleng. Setahu saya Peng Kor menghilang selepas itu dan Din Babi taubat tak menembak babi lagi.

Perlahan Man CID bangun. Teragak-agak dia mahu bercakap. Akhirnya saya yang bersuara, “Walaupun perempuan itu kawan saya, rapat dengan saya sehingga disyaki, mungkin saya tak tahu benar siapa dia. Macam kisah Din Babi tadi. Bertahun-tahun dia minum di kedai hailam dengan Peng Kor, dia tidak pernah tahu siapa kawannya itu. Mujurlah dia menembak babi.”

Man CID meminta diri dan tak lama kemudian, saya mendapat tahu dia sudah bertukar. Ke mana, saya tidak tahu.


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.