Veteran PDRM, ATM imbau detik getir perangi komunis

25 Jul 2026, 1:45 PM
Veteran PDRM, ATM imbau detik getir perangi komunis

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Berdepan risiko maut ditembak ketika menjadi pengintip dalam Parti Komunis Malaya (PKM) antara detik paling mencemaskan yang pernah dilalui seorang veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM), kira-kira lima dekad lepas.

Superintendan (B) Paul Kiong Sing Chu, 82, berkata beliau melalui saat mendebarkan itu ketika diarahkan membawa tiga anggota PKM yang perlu melepasi sekatan polis di Chemor, Ipoh, Perak pada awal 1980-an.

Datuk Paul Kiong berkongsi pengalaman ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan pada Program 'Behind the Mission Untold Experience from Our Veteran' anjuran Persatuan Pelancongan Sejarah Ketenteraan Malaysia (MMHTA) dan Taman Tugu, Kuala Lumpur pada 25 Julai 2026. Foto BERNAMA

"Dari jauh saya melihat sekatan polis dan ketika itu saya fikir sekiranya anggota komunis bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang bertugas, nyawa saya pasti melayang kerana saya yang memandu.

"Bagaimanapun, tindakan pantas saya membelok masuk ke satu simpang kecil sebelum lokasi sekatan berjaya mengelakkan kejadian berbalas tembakan, sekali gus menyelamatkan nyawa saya sendiri.

"Itu antara insiden genting yang pernah saya lalui ketika bertugas sebagai pengintip," katanya kepada Bernama pada program People Library: Behind the Missions: Untold Experiences from Veterans di Taman Tugu di sini hari ini.

Kiong berkata banyak insiden mencemaskan yang pernah dilalui sepanjang menjadi pengintip dalam PKM yang dikongsikan menerusi buku “The Communist Role I Played: Undercover During The 2nd Malayan Emergency (1968-1989)”.

Beliau berharap penghasilan buku itu dapat mendekatkan generasi muda kepada sejarah perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Kiong yang menabur bakti dalam pasukan “Sang Saka Biru” selama 31 tahun juga dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) atas keberanian luar biasanya ketika menjalankan tugas.

Datuk Salehuddin Abd Muttalib berkongsi pengalaman ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan pada Program 'Behind the Mission Untold Experience from Our Veteran' anjuran Persatuan Pelancongan Sejarah Ketenteraan Malaysia (MMHTA) dan Taman Tugu, Kuala Lumpur pada 25 Julai 2026. Foto BERNAMA.

Turut berkongsi pengalaman ialah Mejar (B) Datuk Salehuddin Abd Muttalib yang mengimbau detik berdepan anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) ketika menyertai operasi sulit di Sarawak, antara pengalaman paling sukar dilupakan sepanjang perkhidmatannya.

Beliau berkata dalam operasi itu, seorang anggota PKI yang ditembak sempat memberi salam dan mengucap dua kalimah syahadah ketika pasukannya menyerbu lokasi persembunyian kumpulan berkenaan.

"Ketika ditembak, dia langsung tidak memegang senapang. Apabila saya tahu dia seorang Islam, saya terus terfikir apakah hukum saya membunuh sesama Islam, adakah ahli keluarganya dapat memaafkan saya," katanya.

Salehuddin berkata kenangan itu kembali menghantuinya apabila kira-kira 10 tahun kemudian anak saudara anggota PKI berkenaan datang mengunjunginya di rumah dan memaklumkan bahawa lelaki yang maut dalam operasi itu ialah bapa saudaranya.

"Saya memang terkejut dan tidak sangka ada ahli keluarga mangsa yang datang bertemu saya. Peristiwa itu masih kekal dalam ingatan saya hingga hari ini," katanya.

Kedua-dua veteran PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu antara lima penceramah yang berkongsi pengalaman dan kisah perjuangan kepada kira-kira 200 peserta yang hadir pada program diadakan sempena Hari Pahlawan yang akan disambut pada 31 Julai setiap tahun.

Program anjuran Persatuan Pelancongan Sejarah Ketenteraan Malaysia (MMHTA) dan Taman Tugu itu bukan sahaja memberi ruang kepada veteran PDRM dan ATM berkongsi pengalaman sepanjang berkhidmat, malah memupuk kesedaran mengenai pengorbanan barisan pahlawan negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air, khususnya dalam kalangan pengunjung muda.

-- BERNAMA

TAG: veteran, PDRM, MMHTA, Hari Pahlawan, komunis

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.