ad
BUDAYA

Oktober 7

27 Jul 2025, 12:30 AM
Oktober 7

Oleh Mohamad Kholid Hamzah

Pusingan kedua dan sudah mencungap beberapa kali. Saya merenung kedua belah kaki, bengkak. Petang-petang begini, setelah banyak bergerak, pergelangan kaki sudah mula membengkak. Itu tanda-tanda jantung sudah kurang berkuasa dan umur sudah menghampiri penghujung. Saya sedari sejak kebelakangan ini, jauh lebih awal daripada apa yang dijangkakan.

“Awak penat?” Seseorang menyapa.

Saya tersenyum. Wajah itu sudah lama tidak saya temui. Cukup lama. “Kathy?”

“Mujur awak masih ingat,” katanya lalu ketawa kecil dan saya terpana. Wajah kacukan yang sesekali muncul dalam hidup. Pada ketika-ketika saya berada di persimpangan atau pada ketika saya berada dalam kegawatan fikiran. “Bila kali terakhir kita berjumpa?”

Saya menggeleng dan Kathy ketawa lagi, “jangan bimbang, bukan awak seorang yang semakin tua. Saya juga begitu.”

Kami memilih berjalan perlahan. Membiarkan orang lain yang berjalan laju atau berlari anak memotong. Kami seolah-olah tenggelam dalam fikiran sendiri.

“Apa yang bakal berlaku? Apa yang bakal menghantui masa depan?” saya bertanya tanpa sebab.  Seolah-olah ada sesuatu dalam fikiran yang saya tidak ketahui.

“Dunia sebelah sini, Borneo, sentiasa dilupakan orang tetapi tempat ini, tempat tercantik. Laut Sulu, seolah-olah cermin yang berolak-olak. Orang melupakan tempat indah ini,” kata Kathy.

“Orang tertumpu pada Malaya? Pada Singapura?” tanya saya dan Kathy mengangguk.  Lama juga dia diam dan kemudian menyambung, “kedua jalur semenanjung itu akan bercantum. Membentuk gabungan baru, apatah lagi setelah jambatan Laut Andaman dan Teluk Siam berlangsung. Sebelah Borneo ini dilupakan, sedangkan inilah kegemilangan silam.”

“Sujak...  Awak ke sini seorang?” tanya Kathy.

“Seorang? Tidak, dengan kawan-kawan sebaya,” saya tergelak. “Saya katakan sebaya tetapi lebih tepat, warga emas.” Saya mencari-cari bangku di tepi laut itu. Ada sebuah yang kosong, tidak berorang. Langkah laju menuju ke situ. “Jantung sudah tua, kena tahu bila waktunya perlu berehat,” kata saya lagi.

“Saya juga sudah tua. Malah dunia saya juga semakin tua, lebih cepat tua dari diri saya,” keluh Kathy lalu duduk disamping. Ketuaannya juga jelas, sudah tidak boleh ditutup dengan tata rias. Retak di tubir mata. Retak di rekahan bibir. Mata Eropahnya masih menyinar. Masih ada keterujaan.

“Apa yang sudah berlaku setelah Oktober 7?” tanya saya. Seingatku Kathy menghilang setahun selepas Oktober 7. Tidak muncul-muncul lagi sehingga dia berada di hadapan mataku kini. Setelah 15 atau 20 tahun. Oh, aku sendiri hampir-hampir tewas menghidap dimensia. Jika wajah Kathy retak, ingatanku sudah berderai. Hidupku kini menyusun cebisan teka-teki yang berselerak.

“Saya sudah lama memerhati awak, Sujak,” jelas Kathy sebak. Dia tidak sanggup barangkali melihat ketuaan merampas jiwa. Dia mengeluarkan botol, berwarna perang gelap.  Tidak kelihatan isinya.  Dia memicit tiub di penutup botol. “Awak buka mulut, angkat lidah,” pinta Kathy.

Saya teragak-agak. “Legal?  Halal?”

“Makanan kita sama – sembelihan ahli kitab boleh dimakan muslim.  Kalian ada halal, kami ada kosher. Buka mulut,” Kathy lebih mendesak.

Setitik jatuh di bawah lidah. Rasanya seperti herba hangus. Tak dapat mengagak kerana seumur hidup tidak pernah merasainya. “Ubat apa?” tanya saya lagi.

“Kami makan untuk panjang umur. Sudah, jangan tanya,” jawapan Kathy seperti biasa amat meyakinkan. Sememangnya watak Kathy begitu.

Kathy bangun dan tersenyum. Amat mempersonakan. “Saya pergi dulu...”

“Ya, jangan cari saya dan saya sendiri akan cari awak,” saya mengajuk. “Selamanya awak begitu.”

“Balik hotel baik-baik dan jangan singgah ke red light,” pesan Kathy tertawa.  Kedengaran begitu memepersonakan.

Saya sudah tua, Kathy. Begitu juga awak. Dunia itu sudah sekian lama berlalu.  Semporna begitu sempurna pada peralihan masa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.