ad

EXCO: Jangan sebar fitnah, Selangor telus laksana program basmi kemiskinan

14 Nov 2025, 4:01 AM
EXCO: Jangan sebar fitnah, Selangor telus laksana program basmi kemiskinan

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor terus membuktikan keupayaannya sebagai negeri paling makmur di Malaysia apabila kadar kemiskinan berjaya diturunkan ke paras bawah satu peratus, hasil pelaksanaan dasar ekonomi inklusif dan pelbagai program pemberdayaan rakyat.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kemiskinan mutlak negeri itu menurun daripada 1.5 peratus pada 2022 kepada hanya 0.9 peratus pada 2024, menjadikannya antara yang terendah di negara ini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata kejayaan itu bukan kebetulan, sebaliknya hasil strategi bersepadu Kerajaan Negeri melalui inisiatif seperti Hijrah Selangor dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) yang membantu ribuan rakyat menambah pendapatan dan berdikari.

“Kita memperkenalkan pelbagai program dan blueprint khas untuk bantu rakyat keluar daripada kelompok kemiskinan. Fokus kita ialah memperkasa, bukan sekadar memberi bantuan,” katanya ketika diminta mengulas tuduhan pemuda Pas semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal dalam program basmi kemiskinan.

Beliau menjelaskan, Selangor menumpukan usaha membina ekosistem ekonomi yang menyeluruh daripada pinjaman mikro, latihan keusahawanan, hingga bantuan peralatan asas bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah mampu berdikari dan tidak bergantung semata-mata kepada bantuan tunai.

Papparaidu turut menegaskan pendekatan inklusif Selangor menjadi model kepada negeri lain memandangkan pelbagai program sosial seperti air percuma, bas percuma dan bantuan usahawan kecil terbukti memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Sepatutnya negeri lain belajar daripada Selangor. Kita laksanakan banyak dasar progresif yang betul-betul bantu rakyat di bawah,” katanya.

Untuk rekod, menurut data DOSM 2024, Kelantan dan Terengganu yang diterajui PAS masing-masing mencatat kadar kemiskinan 11.5 peratus dan 4.8 peratus, jauh lebih tinggi berbanding Selangor.

Beliau menambah, kemakmuran Selangor turut terbukti apabila negeri itu menjadi destinasi pilihan rakyat negeri lain untuk mencari rezeki dan kehidupan lebih baik.

“Saya sendiri dari Perak, tapi berhijrah ke Selangor kerana peluangnya luas dan ekonominya makmur. Ramai datang ke sini untuk hidup lebih baik,” ujarnya.